Wednesday, April 10, 2013

Teguran untuk niqabis, akhi, akhowat muslimin muslimat daripada seorang Kristian.




melalui perjalanan yang panjang menuju ke destinasi, aku berpapasan (beriringan) bersama seorang gadis Kristian. Kami baharu kenal di stesen bus dan merancang bergerak bersama memandangkan destinasi yang kami tujui adalah sama.
 Syukur, gadis Kristian itu langsung tidak menunjukkan rasa kekok sepanjang bersamaku, memandangkan aku mengenakan niqab/purdah. Rasanya seperti kami sudah lama kenal, kerana sifat peramah yang ditunjukkannya, dan aku pula, ikut sama melayani dan bercerita. Cuma yang kurasakan sedikit pelik ialah,:

Mengapa dia tidak bertanya ‘mengapa aku mengenakan niqab, dan apakah perasaanku ketika ini? Bukankah ini soalan lazim yang ditanyai siapapun yang ingin tahu, terutama orang islam sendiri. (maaf, tidak melibatkan siapapun).

Terus, ketika menikmati makanan, aku sendiri bertekad memberitahunya tujuan aku mengenakan niqab, dan sambil-sambil itu, bertekad untuk menerangkan salah faham antara Kristian dan Islam dalam tempoh yang singkat ini. Tidak, aku tidak akan menuduh agamanya betul/salah di mata Islam, tetapi aku akan berusaha menjernihkan salah fahamnya tentang Islam. Itu bagiku jauh lebih baik.

Seperti yang kuharapkan, aku sendiri yang memulai soalan mengenai niqab.
(aku tidak tahu mengapa, hatiku meronta-ronta untuk mencerahkan sedikit mindanya tentang Islam)

" Tak rasa pelikkah tengok saya berniqab?" tanyaku.

Dia menggeleng, sambil menyuakan straw ke bibirnya.

Mataku tertumpu terus ke arahnya. Tersenyum. Aku pasti dia sedar isyarat mata itu.
Dia menjawab pula, " Biasa saja, selalu juga lihat gadis berpurdah sepertimu."
Tiba-tiba ada seorang wanita berniqab yang duduk di meja berhadapan kami. Kebetulan aku kira.


"Oh, tapi kebanyakan orang Islam sendiri rasa pelik melihat kami berniqab," luahku jujur, cuba memancing reaksinya.

"Begitu? Aku lihat biasa-biasa saja. Mengapa? "

Aku mengangguk, " Sebab niqab ini sekadar sunnah, tapi Alhamdulillah, ramai yang sudah mengenakannya. Dan di sini ia tidak kelihatan terlalu asing.”

“Sunnah? Aku pernah mendengarnya.. Ada seorang lelaki di kelasku katakan bahawa janggutnya yang panjang itu adalah sunnah. Ramai yang mempermainkannya di dalam kelas “perbandingan agama” kami, tapi dia katakan itu adalah sunnah nabi kamu.”
Jelas gadis ini sekadar tahu wujudnya istilah “sunnah” tapi tidak diterangkan apa.

‘Kasihan,’ Hati kecilku berbisik.

“Kelas perbandingan agama, oh, kamu mempelajarinya?”

“Ya, subjekku adalah pendidikan moral. Jadi itu adalah mata pelajaran wajib kami.”

Aku tidak melanjutkan diskusi kami berkaitan kelas perbandingan agamanya. Aku lebih tertarik kepada isu niqab dan “sunnah”. Sekadar aku menjedakan dahulu cerita perbandingan agama itu dengan penjelasan bahawa aku tertarik kepada ilmu teologi(agama dan perbandingan), sejak daripada tingkatan 3 lagi, dan tidak pula aku katakan bahawa aku hampir hanyut kerana tidak ada ilmu. Hampir-hampir terjebak dan mempelajari agama lain, kerana ya, aku tidak ada ilmu!

“Oh, menurutmu, maksudku, apa pendapat kamu tentang wanita yang mengenakan purdah?” tanyaku menggunakan istilah”purdah” dan bukannya “niqab”, walaupun kedua-duanya sedikit berbeza(tetapi fungsi yang sama).

“Bagiku biasa saja.” Jawabnya pendek.

“Oh..” aku mengangguk.

“Tapi,”

“Kenapa?” Telahku.

“Apa tujuan sebenar si pemakai purdah itu, sebab..” katanya dan diam sejenak.

“Sebab apa?”

“Sebab si pemakai purdah kulihat masih mengenakan pewarna yang berwarna warni, dan paling penting meletakkannya di fb. Apakah agamamu menganjurkannya?”
SubhanAllah! Aku meneguk liur. Seorang Kristian juga peka akan hal ini. Malu ya Allah~

“Oh, hakikatnya. Tujuan sebenar pemakaian purdah ini adalah untuk melindungi diri, Boleh kata menyembunyikan diri daripada anasir-anasir luar yang jahat. Purdah adalah sunnah isteri-isteri nabi, manakala janggut adalah sunnah nabi.”
Dia kelihatan bingung . aku pasti dia masih kabur dengan istilah “sunnah”, kerana tiada siapa yang menerangkan kepadanya sebelum ini.

“Dalam agama kami, ada hukum-hukum tertentu. Iaitu ada haram, halal, makruh, sunnah, wajib dan ada lagi..” kataku sekadar memberi sedikit penerangan, “ Sunnah pula, bila dilakukan dapat pahala, tak dilakukan tidak berdosa. Wajib pula seperti solat kami, tak buat berdosa, dibuat dapat pahala. Macam contoh agama kamu, seorang paderi tidak boleh menikah. Kira wajib baginya. Untuk menjadi paderi , tidak semua orang boleh melakukannya. Itu adalah tingkat keimanan yang tinggi dalam agama kamu. Manakala pemakaian purdah ini, merupakan usaha seorang muslim menjadi lebih baik. Tapi bukan bererti dia sempurna. Namun tak seperti paderi kamu, semua wanita islam boleh mengenakan purdah, tapi laksanakanlah dulu yang wajib.”Kataku agak panjang.

Dia mengangguk, tampak bersemangat untuk menyambung perbualan.

“Jadi yang tentang wanita mengenakan purdah tapi letak di fb,  bukankah sama saja, pakai purdah sekadar mahu ditunjukkah?”

Aku mengurut dada. Wajahku sedikit berubah, mujur dia tidak melihatnya.

Ya Allah, berilah aku ucapan dan kata-kata hikmah yang terbaik, aku berdoa.

“ Oh, sejujurnya, saya sendiri tidak gemar melihat wanita berpurdah meletakkan gambarnya di fb atau laman sosial lain. Tidak molek dan tak elok. Malah berposing pula.”
Dia mengangguk, aku tidak berniat menjatuhkan siapapun, tapi aku harus menerangkan dengan semampu yang boleh, seikhlasnya.
Aku menyambung, “Malah perbuatan mereka ini, menjatuh dan mencalarkan imej mereka yang berpurdah dengan niat lillahitaala. Maksud saya, yang sengaja menunjukkan diri berposing segala..,” luahkan mengingatkan segelintir mereka yang merendahkan martabat mereka yang berniqab dengan ikhlas, “ tapi manusia tak sempurna, saya kira yang buat sedikit onar ini adalah yang bahru hendak berjinak-jinak mengenakan niqab, tapi begitulah..” aku hilang semangat menyambung cerita. Aku kira ilmuku tidak banyak untuk mengupasnya panjang lebar, Allah saja yang memberikannya kefahaman kelak.

“ Oh, aku ada seorang ustazah semasa di sekolah dulu. Dia mengenakan purdah hari ini, dan keesokannya pula membukanya. Kenapa ya? Bolehkah begitu?”
“macam saya katakan tadi,purdah hukumnya sunnah. Gunakanlah bila perlu, dan tinggalkan bila perlu. Macam saya sendiri, saya tak kenakan purdah di dalam kelas, tapi cepat2 menggunakannya ketika perjalanan pulang . dan Alhamdulillah, saya gunakannya sepanjang masa, tolak campur di dalam bilik rumah. Maksudnya, saya gunakan niqab setiap kali keluar untuk keperluan. Dan soal ustazah yang mengajar di sekolah kamu tadi, mungkin pengetua tidak benarkan, jadi dia buka. Atau dia sedang cuba2 utk pakai, sebelum menggunakan secara  berterusan. Tiada salah, tapi sebaiknya, pakailah dengan istiqomah (sudah diterangkan kpdnya sebelumnya), kalau tiada aral.

“oh… “dia mengangguk faham. Semoga dia benar-benar diberi kefahaman oleh Allah.

“Ah, tentang perbandingan agama itu, kamu belajar tentang apa?” tanyaku membangkitkan inkuiri semula.

“ Tentang semua agama. Minggu lepas kami belajar tentang Islam. Minggu ni tentang Kristian. Lucunya adalah tentang agama budha. Maksudku, sedikit tidak masuk akal bagiku. Yalah, mereka percaya kepada tangkal-tangkal.”

Aku sedikit ketawa. “Benarlah kan, mana mungkin manusia bergantung harap kepada sesuatu yang mati. Ah, terlupa. Apa pendapatmu tentang Kaabah?”
Dia mengecilkan mata, tidak faham maksudku.

“ Begini, apakah kamu sebagai seorang kristian mengira seorang Islam menyembah kaabah?”
(sebenarnya tujuanku adalah menjentik emosinya tentang patung yang disembahnya.)
 Dia diam.

“ Contoh, kalau kami mengalihkan Kaabah ke sisi lain, apakah kami akan menyembah Kaabah yang sama atau menuju kiblat solat ke tempat asal.”

“Kamu bukan menyembah Kaabah?”
Aku menggeleng. Ya, aku mesti memberitahu.

“Kaabah merupakan pusat di bumi. Dan kami percaya ianya pusat tempat tawafnya malaikat di langit sana.(tidak aku jelaskan lebih lanjut, dan dia juga tidak bertanya. Juga ada sedikit aku terangkan mengenai simbolik rukun haji). Kalaulah Kaabah dipindahkan, kami tetap akan menuju kiblat yang sama. Azan yang dilaungkan dari seluruh pelusuk dunia tetap akan sahut menyahut. Dan yang paling best, jika dilihat daripada langit, Kaabahlah yang putih dan jelas kelihatan. dan ini adalah keajaiban.” Kataku. Dia menjegilkan mata. seolah tidak percaya. Maklumat selebihnya biar dia sendiri yang cari.

“Kamu tahu, ada rakan muslim di kelas memanggil air yang kami minum itu air setan.”

“Oh holy water?” tanyaku.

Dia mengangguk. SubhanAllah, mengapalah ada islam yang sebegini. Perbuatan seperti inilah yang memburukkan nama Islam.padahal Islam sangat menyeru tolak ansur. Bukan mencaci maki.

“Mereka tak sepatutnya lakukan begitu. Uit, kalau saya.. saya tak kan biarkan budak-budak ni buat begitu. Tak boleh. Seorang Islam yang sebenar takkan buat begini. Kamu buat apa semasa dicaci begitu?”

“ Kami diam saja. Bilangan kami tidak ramai. Dan bilangan Islam sangat ramai. Dan kebanyakan mereka ini orang Kelantan(maaf tidak bermaksud menjatuhkan atau bermaksud lain, malah Kelantan yang dimaksudkan adalah segelintir barangkali yang juga punya khilaf, tidak bermaksud sesiapa) yang mengambil Pendidikan Islam. Mereka menuduh kami orang Yahudi. Ya, mereka kata kami Yahudi.”

Aku meneguk liur sekali lagi. AllahuAkbar,

“Oh, kamu bukan Yahudi. Yahudi itu agama orang Israel. Walaupun ada juga penduduk dunia beragama Yahudi, tapi kamu Kristian bukan Yahudi. Yahudi itu kejam merekalah yang membuat propaganda semasa perang salib dulu. Merekalah yang cuba mengkacau bilau Kristian dan Islam.” Kataku tanpa lapik, “ dan mereka yang mencaci kamu itu, saya minta maaf bagi pihak mereka. Itu bukan ajaran Islam. Mencaci tidak dibenarkan dalam islam. Sepatutnya mereka menjelaskan tentang Islam sebenar, bukan buat begini.” Kataku sedikit beremosi.

“Ada lagi, selepas kelas, di dalam fb ada group utk membicangkan tugasan. Tidak cukup dengan menghina kami ketika di kelas, mereka sibuk  berbincang tentang agama kami di dalam group itu. Kami diam saja.” katanya tanpa selindung.

Aku mengambil nafas.

...
Mereka ini juga manusia. Punya hati dan perasaan. Jika muslim menunjukkan perilaku sebegini, saya tidak hairan mengapa mereka melabel kita begitu dan begini. Mana adab dan perlakuan kita?? 

Maaf, saya seorang Islam. Saya sayangkan Islam. Sangat-sangat. Maka, mohon. Jaga nama agama.

Teguran saya, tolong, jangan jatuhkah agama orang lain. Perbetulkan dahulu pemahaman orang tentang agama kita. Dan kita pula, jangan jadi batu api, jangan merosakkan nama agama sehingga menjatuhkan agama kita. Bagitahu saya, siapa yang mahu dengar agama mereka anuti dari kecil itu salah? Tolong faham situasi, jangan hentam keromo saja.

Kalau seorang mendengar, seorang pula bicara, kalau dua-dua bercakap dan bercakar, siapa yang mahu mendengar? Batu? Kayu” pokok atau tebing2??

Bukan listen, listen semata. tapi understand, understand , lepas itu buat tindakan.
Wallahua’lam.

Perkongsian ikhlas, manjalela/Khawlah al-Azwar
~sebarkanlah sahabat utk peringatan bersama in shaaAllah.b