Saturday, November 26, 2011

22 fakta tentang sotong yang anda rugi kalau tak tahu



1-Ahli Biologi menganggarkan terdapat kira-kira 500 spesies sotong

2-Sotong betina bertelur seribu biji setiap kali di dasar laut

3-"Giant squid" mempunyai mata sebesar bola jaring

4-Sesetengah sotong mempunyai organ bioluminescent menyebabkan ia bercahaya dalam gelap

5-Sesetengah sotong kehilangan tantakelnya pada peringkat larva

6-Sotong merupakan haiwan karnivor: makan ikan, krustasia dan sotong kecil

7-Sotong mempunyai 8 lengan dan hanya tantakel mempunyai penyedut

8-Sotong mempunyai 3 jantung

9-Sotong berenang paling pantas di antara haiwan-haiwan invertebrata

10-Kebiasaannya sotong hidup selama 1 hingga 2 tahun

11-Sotong terbesar yang dilaporkan sepanjang 60 kaki dan berat 1980 lbs


12-Nama "calamari" bermaksud memasak sotong dari bahasa greek

13-Sotong paling kecil bersaiz 0.7 inci dengan berat 0.02 oz

14-Kebanyakan sotong memancutkan dakwat bagi melepaskan diri daripada musuh

15-Sotong boleh menyamar mengikut persekitarannya.

16- Dikatakan sotong mempunyai kepintaran kanak-kanak berumur 6 tahun
17-sotong bernafas melalui insang seperti ikan

18-sotong Anthena dikatakan boleh berjalan di atas darat(rujuk video)

19-Sotong Kurita tidak mempunyai tulang belakang, oleh itu walaupun sudah 
dewasa, ia boleh memasuki lubang sebesar duit syiling

20-dalam bahasa Greek, Octopus bermaksud berkaki lapan

21-Paul merupakan nama seekor sotong selebriti yang meraih populariti yang tinggi selepas meramal permainan bola sepak piala dunia 2010

22-seorang bayi dikhabarkan mempunyai badan seperti sotong 






“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezkinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh). (Hud, ayat 6)

Wednesday, July 20, 2011

16 fakta bayi yang anda mungkin nak tahu,,, ^_^



16 Fakta Menakjubkan Bayi baru lahir


  • Bayi tiada kepala lutut. Ia tidak membentuk sehinggalah bayi berusia 6 bulan




  • Bayi tiada air mata. Mereka menangis dan menjerit tetapi air mata sebenar tidak wujud sehinggalah bayi berusia 5 minggu. 




  • Mereka mempunyai lebih tulang. Orang dewasa mempunyai 206 dan bayi pula 300 tulang. Kebanyakan dari tulang tersebut bercantum semasa bayi membesar.




  • Empat dari 10 bayi mempunyai tanda lahir.




  • Bayi mempunyai deria bau yang kuat. Boleh mengenali bau badan ibu sebaik dilahirkan.




  • Penglihatan bayi kabur sebaik sahaja dilahirkan.




  • Rambut bayi yang tumbuh semasa dalam rahim ibu akan gugur beransur ansur dan digantikan sepenuhnya oleh rambut baru apabila berusia 6 bulan.




  • Bayi baru lahir secara genetiknya mempunyai deria bunyi yang kuat. Boleh membezakan bunyi-buyian dan boleh mengenali suara ibu serta merta semasa dilahirkan




  • Deria rasa bayi masih tidak berbentuknya sepenuhnya semasa lahir. Tidak boleh membezakan rasa seperti manis atau masin dengan baik.




  • Jantung bayi baru lahir berdenyut diantara 120-160 degupan seminit berbanding dengan degupan jantung orang dewasa iaitu 60-80 seminit.




  • Bayi bernafas lebih cepat iaitu 30-50 nafas seminit berbanding dengan orang dewasa 16-20 nafas seminit.




  • Berat bayi bertambah 2 kali ganda dari berat semasa lahir pada usia 6 bulan.




  • Mendengarkan music klasikal menambah kepintaran bayi.




  • Bayi baru lahir tidur 15-20 jam sehari.




  • Bayi cuma mempunyai satu lapisan kulit sebab itulah ia akan alah dan kemerahan dengan senang kepada losyen wangi, sentuhan kasar, gigitan serangga dan sebagainya.




  • Bayi mempunyai kebolehan menyelam sebaik dilahirkan tetapi kebolehan tersebut akan hilang dengan cepatnya.







  • Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa



  • (Al-Furqan , ayat 74)

    Monday, July 18, 2011

    novel bersiri : Buruj-buruj cinta, bab 1 dan 2

    BAB 1 dan 2: BURUJ-BURUJ CINTA
    Cinta bertunas

    Kejadian gempa bumi di Jepun menggigit rasa. Bantuan kemanusiaan diagihkan berupa beras, barang-barang dapur, serta pakaian dan selimut untuk kemandirian hidup mereka. Serasa ada ejekan yang menerkam tangkai hati warganya tatkala bumi animasi itu tiada penyelamatnya. Wajah-wajah warganya kelihatan sugul dan layu. Bukanlah cerca dan maki yang didamba saat itu tapi huluran bantuan yang tak putus-putus mahunya. Ura-ura juga mengatakan ketua penduduk di kawasan bencana tidak menginginkan simpati dan bantuan. Itu hanyalah agenda sherif dunia kerana rata-rata penduduk tempatan berterima kasih kepada negara yang meringankan beban termasuk Malaysia. 
    “ Ini kejadian yang ke berapa?” tukasnya seraya meninjau-ninjau kawasan bencana.
    “ Belum termasuk dalam kiraan prof. ,” Hamza mencatit sesuatu pada buku catatannya. Pensel tulis diselitkan ke telinga seusai menulis. Lagak orang pintar.
    “ Mengikut keterangan saksi apa?” soal sang professor. Dia tidak ralit dengan kajiannya. Seorang professor berwibawa daripada luar negara. Memahami pelbagai jenis bahasa. Mempunyai kreadibiliti luar biasa. Dan sekarang, dia mahu mengkaji kaitan antara bencana di Jepun dengan kehadiran makhluk luar dari bumi, alien.
    Hamza juga meraih pengalaman luar biasa. Dia takjub sekali dengan menjadi pengikut Profesor Agaza. Seorang  mulhid atau tidak punya agama yang pada asalnya penganut agama Kristian yang tegar.
    “ Rata-rata saksi yang berada di luar rumah menyaksikan tanda luar biasa. Bentuk cincin di langit, cahaya pelik seperti awan di waktu senja dan saya syak , ianya fenomena yang sama di Chile juga di China,” Jelasnya dengan mata bercahaya. Kejadian gempa bumi bermagnitud 8.8 di Chile pastinya mengejutkan dunia, dan sekarang berlaku di Jepun pula dengan magnitud 9. Suatu hari nanti di mana pula?
    “ Ya, saya juga merasakan yang sama. ,” ujar Professor Agaza seraya tersenyum. Seolah-olah ada sesuatu yang direncana. Mungkin saja penemuan awal mampu menyelamatkan nyawa dan persediaan menghadapi gempa. Itupun sekiranya hipotesis yang dibuat adalah tepat. Cita-cita memperoleh anugerah Nobel bakal dalam genggaman kalau saja kajiannya berhasil. Benar-benar akal pintar seorang ilmuan.
    “ Nanti pula kita ke mana ?” Hamza gemar membuntuti Prof. Agaza. Dia bebas ke luar negara. Semuanya percuma!
    “ Mesir,”
    …………………………………………………..
    Beberapa bulan sudah berlalu sejak sekembaliannya daripada bumi matahari terbit. Belum puas sebenarnya, kerana tanah Osaka belum sempat diinjak. Terbitnya matahari di bumi itu belum sempat diperlihat. Sejuk bekunya salji hanya sempat ditatap dari balik jendela. Semuanya kerana keperluan kerja dan penyelidikannya.
    Furqan duduk di pinggir katil. Sipi-sipi saja punggungnya dan dia hampir terjatuh. Kertas kerja ditolak mentah-mentah oleh pihak atasan. Kajian demi kajian menemui jalan mati. Seolah-olah ada denai-denai yang ditinggalkan, dan kini menuju ke sungai yang berkelodak. Buntu!
    Jelas terdengar nada dering  kembali dari beg bimbit yang terbuka. Dibiar kejap telefon menjerit kerana keasyikan pada transkrip penemuan terkini soal kajiannya. Tangan dihulur namun telefon sudah bisu suara.
     Ibunda Furqan mampir. Dia juga tidak sedar.
    “ Furqan sayang,” panggil Hajah Kalthom lembut. Di tangannya ada dulang dan santapan. Lantas Furqan berpaling. Tidaklah dia membiarkan ibunda memanggilnya berkali-kali tanpa jawapan. Berdosa besar kelak.
    Dia menghadirkan secalit senyum. Manis, semanis kulitnya yang sawo matang. Cermin mata ditujah ke atas. Titis peluh diseka dengan kura tangan. Perut juga berbunyi kerana sedari pagi dia belum menjamah apa-apa hidangan. Sehiris tembikai dan kurma seperti inti makanan nabi yang menjadi hidangannya saban hari juga belum jatuh di perut. Makanan itu jugalah yang ditatang oleh ibunya.
    Furqan mencium tangan ibunya lalu santap. Tidak gelojoh dan penuh ketertiban.
    “ Furqan, ibu mahu minta sesuatu darimu,” pohon ibunya perlahan.
    Furqan tertegun, belum pernah juga ibunya berkelakuan ganjil sebegitu. “ Katalah ibu, InsyaAllah akan ditunaikan selama mana tidak melanggar batas dan syariat,”
    “ Kahwinilah Ummi Khadijah, anak teman ibu. Dia mahu bebas dari fitnah yang membelenggunya. ,” ujar ibunya tanpa banyak sendi bahasa dan selit nada. Sekeping foto dihulur. Furqan mengambilnya dengan cermat dan meletakkan dalam kemas di atas meja. Tidak sekali-kali anak matanya diajar mencuri pandang meski hanya sekeping foto. Gambar itu juga ditelangkupkan.
    Permintaan ibunya tidak melanggar syariat., malah bakal melengkapkan jiwa Furqan sebagai lelaki sejati dengan pernikahan selaku sunnah yang dituntut. Bukankah Adam juga lengkap dirinya sebagai lelaki tatkala Hawa hadir menjadi permaisuri? Furqan tahu itu. Malah dia tahu ibunya hanya mengharapkan kebahagiaan hidup anaknya. Itu saja.
    Senyum masih terparkir di bibir. Dengan ungkap kata Bismillah, furqan menyetujui permintaan ibunya.
    Telefonnya berbunyi lagi. Kali ini dia lekas menyambar dan terus menekan punat hijau. Tertera nama seseorang di skrin.
    Hamza
    …………………………………………………………..
    Ummi Khadijah, secantik namanya. Dia hadir dalam hidup Furqan persis pelangi yang terukir selepas hujan. Wajah cantiknya menjadi kedambaan ramai jejaka.  Beruntunglah sesiapa yang memilikinya. Ilmu agamanya juga harus diakui mukmin yang menginginkan serikandi Islam sejati.
    Namun bagi Ummi Khadijah, perkahwinan tidak seindah itu. Harus banyak cabang-cabang dugaan yang perlu dilalui. Kalau saja tersilap langkah. Punah. Petang itu mereka dipertemukan.
    Ummi Khadijah ditemani mahramnya dan Furqan juga begitu. Mereka tidak melirik manja walaupun pernikahan  bakal menyatukan dengan izin Allah. Bukankah lirikan mata itu panah-panah dari syaitan. Mohon disimpangkan semacam zina apapun pada Dia Maha Memiliki. Perlu apa juga merasa nikmat sebelum kahwin, berpeluk-peluk, bersalam-salam dan bermesra.
    Rasulullah s.a.w bersabda dan diriwayatkan oleh Thabrani, seandainya kamu ditusuk dengan jarum besi, maka itu lebih baik bagimu daripada menyentuh perempuan yang tidak halal bagimu. Hadis itu tersemat kemas di nubari Furqan.
    Tanpa banyak soal dan bicara. Juga tanpa pantun dan puisi-puisi yang menyukarkan permuafakatan. Mahar ditetapkan, tidak terlalu lebih nanti menyusahkan, juga tidak terlalu kurang nanti memalukan. Termeterai janji antara mereka.
    Dua minggu lagi mereka akan dinikahkan. Cukuplah sekadar membuat kad jemputan, itupun tidak perlu dengan grand dan menunjuk-nunjuk. Tanpa banyak karenah birokrasi. Bukankah Islam itu mudah dan memudahkan?
    ………………………………………………………………………………………..

    Malam masih muda.  ada hujan yang menambah bibit romantika. Seusai lafaz yang menghalalkan ikatan, dia mencuri pandang wajah calon isteri, tepat sekali isteri secara total!
    SubhanAllah, cantik sekali.
    Kamar mereka diharumi wangian mawar merah.
    “Abang lihat apa?” tanya Umi Khadijah tatkala melihat sang suami menatap potret gambar.
    “ si cantik..”
    Umi Khadijah jadi cemburu.
    “ ya, pasti saja banyak bunga yang lebih harum sempat dipetik sebelum menjumpai bunga yang mahu membusuk ini,” demikian Umi Khadiah berkias, tenggelam sekali suaranya,
    Furqan mampir. Ada debar di hati sang puteri.
    “ Si cantik itu bintang, dan bintang itu ada di langit. Langit hati.,” liriknya manja. Dia menyambung dengan lunak suaranya, “ So’unuzzon (berfikir buruk) itu harus dielakkan ya sayang..,” ada getar di hujung panggilan. Ungkapan “ sayang” yang pertama kali dialunkan di bibir seorang lelaki, khusus untuknya. Mencemaskan lewat malam begini.
    Furqan berpaling. Dia merenung bintang-bintang. Fikir Ummi Khadijah suaminya marah dengan telahannya. Kalaulah dia dijemput Illahi saat dan kala suaminya tidak redha padanya. Aduhai..
    Ada dua tangan yang muncul dari balik pinggang Furqan. Betapa terkejutnya dia. Sebuah pelukan erat tapi penuh dengan kelembutan. Bau pemiliknya juga harum aromaterapi. Tenggelam dalam indahnya suasana.
    “ Sayang.. marah?” Ummi Khadijah cuba mentelah isi hati suaminya Furqan. Membiasakan diri dengan panggilan yang dijaga rapi dua dekad lamanya.
    “Tidak..,” jawabnya ringkas.
    “ Kecil hati?” pelukan itu dilonggarkan.
    “ Sayang harus belajar mengambil hati,” menarik semula tangan Ummi Khadijah agar melekap tubuh mereka. Ada ketawa nakal di ujung lafaz. Satu cubitan halus singgah di pipi isterinya yang mula bergerak tempat ke sisi pinggang kirinya.
    “ Sayang cantik sekali,”
    “ Tahu..,” ujar Ummi Khadijah sekadar berleluncon.
    “ Abang juga tahu, dan itulah yang menggusarkan,”
    “Maksudnya,”
    “ Abang tidak suka berkias, membuang sedikit masa yang memang sedikit.,” membahasakan dirinya abang supaya wujud sedikit rasa hormat antara mereka.
    “ Maka berterus teranglah,” pujuk Ummi Khadijah.
    “ Nil memanggilku, Kaherah juga begitu,”
    Ummi Khadijah hanya diam. Membenarkan sang suami mengambil secukup masa untuk memberi sebuah penjelasan.
    “ Lihat bintang itu,” Keduanya-duanya menoleh ke arah sebuah bintang yang bercahaya, menandingi bintang lainnya. Jelas, sebuah bintang kejora. Mungkin kerana hujan saat ijab kabul tadi telah menutup pandangan malam, dan sekarang memberinya laluan untuk membawa sinar yang terbias daripada mentari.
    Furqan menyambung dengan redup suara, “ Abang harus mencari kebenaran cerita itu. Bintang hati abang akan sentiasa dekat di hati.,”
    “ Cerita?” baru kali ini dia berani bersuara.
    “ Ya cerita,” Furqan pantas menukas. “ berkaitan worm hole, alien, gelombang cincin di dada langit..”
    Umi Khadijah diam tanpa bahasa. Kalau mengikut gelojak hati, ingin saja dia memuntahkan segala suarasa dan hamburan pertanyaan. Namun bukankah kesabaran pada pertama kali itulah yang terbaik. Wahai hati, bersabarlah. Dengan izin Allah, lambat atau cepat, dia akan mengetahui segalanya tentang Furqan. Apalah yang tinggal kalau tiada rahsia lagi yang harus dicungkil. Rahsia dan misteri itulah yang memberi nilai pada diri individu. Perlahan-lahanlah, alon-alon saja.
    Furqan sedar pada riak wajah isterinya yang bergelombang, seperti juga gelombang yang hadir  di dada langit yang mungkin sebagai tanda luar biasa sebelum Jepun dan Chile dilanda gempa. Mungkinkah memang benar makhluk asing seperti yang Hamza katakan padanya benar?. Zikir  saja buat menenangkan hati. Saat berbulan madu begini pun penyelidikannya masih mahu mengacau dan membuat onar?
    Bukan senang mahu memberi penjelasan. Setakat ini juga hanya ibundanya yang mengetahui gerak geri hidupnya di sebaliknya kerjayanya sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti di ibu kota. Gerakan dakwah agamanya juga tidak harus tinggal diam, kerana agamalah yang memberinya cahaya hidup.
    “ Sayang diam?” Ummi Khadijah menatap penuh wajah bujur sirih suaminya. Ada janggut comel di balik dagu, tiada kumis dan kalau ada pun tidak merosakkan penampilannya. Dia kacak sekali fikir Ummi Khadijah.
    “ Mencuri pandang?” gurau Furqan. Pandangan mata mereka bertaut. Kedua mempelai jadi malu.
    Meski fikirannya diasak-asak, cukuplah dulu, malam itu milik mereka. Meski juga sebentar cuma.
    Potret foto diambil semula daripada meja, diperhati bersama.
    Wajah Ummi Khadijah yang cantik rupawan ditatap. Dia jadi malu.
    Bibir Furqan tepat menempel di dahi isterinya.
    Indah sungguh cinta.

    Telefon bimbit berbunyi lagi. Kali ini pantas ditekan butang hijaunya. Nama pemanggilnya juga jelas di skrin telefon.
    Hamza.

    Bab 2:
    Menuai cinta
    “ Mahu makan angin di mana?” tanya Furqan beria-ia. Wajahnya juga gembira keanak-anakan. Lama sekali dia tersenyum merenung raut cantik isterinya, Ummi Khadijah.
    Tidak luak, tidak jemu!
    Ummi Khadijah hanya membalas renungan. Dia juga tersenyum. Manis dan menggoda.
    “ Kita sudah berbulan madu bukan?” kerling Ummi Khadijah.
    Tangannya ligat mencuci pinggan dan perkakas dapur. Sedikit berdebu fikirnya. Seminggu lepas dia dibawa ke rumah itu sebagai permaisuri, dan sekarang hanyalah suri biasa. Wajarlah ada perkakas yang tidak sempat dijamah untuk dibersihkan kerana banglo besar itu hanya dihuni dua beranak sebelum kehadirannya. Indahnya dekorasi rumah juga serasa membawanya menjelajah ke dunia Inggeris. Lalu mahu ke mana lagi?
    “ Setakat di rumah? Pastinya wanita cantik sepertimu ingin ke tempat yang cantik juga.,” Furqan cuba bermain tali.
     Normallah pasangan pengantin berbulan madu di luar. Meski rumah banglo yang rata-rata dindingnya di cat putih itu cukup indah untuk didiami dan memadu cinta, namun dia ingin bersama isterinya menghirup angin segar di luar. Kalau boleh ke luar negara. Ke kota cinta agar rasa cinta yang mereka bangunkan terus  melonjak seperti menara tinggi.
    “ Lalu di mana?” Ummi Khadijah sebenarnya mahu, tapi dia malu. Dia tahu, membeli sayang juga perlu tawar-menawar.
    Furqan bersandar pada kabinet dapur yang dibuat daripada kayu semangkuk. Rona warnanya lembut. Hiasannya juga menarik. Sesekali tancap mata Ummi Khadijah jatuh pada hiasan kabinet pinggan itu. Sebenarnya kalau boleh dikatakan, serba-serbi menarik.
    Furqan menarik tangan Ummi Khadijah agar mengikutinya. Mujur isterinya sudah hampir siap mencuci dan baru usai membasuh tangan, kalau tidak pasti saja berbuih tangannya. Ummi Khadijah hanya membuntuti Furqan sedang tangannya digenggam erat kini.
    Mereka sampai di gazebo di luar halaman rumah. Ianya sebuah pondok rehat dan didekorasi dengan dua buah kerusi antik . Sebuah meja kopi berkaki tiga menjadi penyeri di tengahnya. Tiang gazebo dicat keemasan dan dilingkari untaian tumbuh-tumbuhan. Laman di sekeliling gazebo juga dihias dengan tanam-tanaman renek serta pohon-pohon menghijau. Laman letaknya gazebo itu di tepi kanan rumah, dan jalan ke situ disambut oleh batu-batu sungai yang beraneka saiznya. Mengikut ahli kesihatan, amalan memijak batu sungai dengan kaki ayam baik untuk kesihatan, mungkin itulah tujuannya wujud di situ.
    Ummi Khadijah cukup kagum dengan gazebo dan laman itu.
    “ Mengapa diam?” tanya Furqan. Dia mencuri pandang wajah isterinya yang leka dengan hiasan sekitarnya sedari tadi. Dia suka sebenarnya memperlakukan Ummi Khadijah seperti itu. Bukannya salah apapun.
    “ Semuanya cantik sekali,” ringkas saja jawabnya.
    “ Secantik dirimu juga,” ada seulas senyum di bibir Furqan.
    Ummi Khadijah membalas senyum. Takut nanti suaminya jadi “SS” aka senyum sendiri.
    “Kalau boleh ummi bertanya..,”
    “ Silakan saja sayang..,” lancar sekali ungkapan itu diluah. Mungkin saja dia sudah berlatih beberapa kali sebelum mengungkapkannya. Ummi Khadijah sejujurnya belum biasa dengan panggilan itu. Tapi kalau dihayati, indah sekali. Suami sendiri juga, bukan orang lain.
    Ummi Khadijah menelan liur. Moga saja pertanyaannya tidak menggusarkan hati Furqan. Dia mahu mengelakkan kejadian seumpama itu.
    Matanya ditatap dalam oleh Furqan. Rasa mahu tembus isi hatinya diperhati begitu. Rasa mahu melayang juga ada.
    “ Ungkapkanlah…,”
    Ummi Khadijah tunduk. Dia kalah. Tidak betah berlawan renungan.
    Satu perkara yang dia sedari seawal pertemuannya dengan Furqan, berterus terang dan jangan berdalih. Furqan juga menyedari gelisah hati isterinya dari awal lagi. Soal pekerjaannya. Soal kekayaannya.
    “ Kerja abang pensyarah?” Ummi Khadijah menarik nafas panjang. Pelik pula terasa soalannya.
     Furqan menghidu gusar di hati isteri. Bukanlah dia tidak mahu memberitahu soal diri dan kerjayanya. Rancangannya untuk memberitahu perihal diri pada saat dan detik yang sesuai. Tapi kalau tidak sekarang bila lagi? Takut pula kalau-kalau Ummi Khadijah tidak mampu menerima kerjanya, kebanyakan masyarakat juga begitu. Tidak mahu pula isteri yang mula diterap penuh rasa cinta menjauh gara-gara tidak menyukai pekerjaan yang dilakukan. Sukar sekali.
    Angin yang menampar wajah seolah-olah menjawab pertanyaan Ummi Khadijah. Bukannya dia tidak tahu Furqan bekerja sebagai seorang penyarah di universiti dengan kelayakan master dan sedang berusaha menyambung pengajian ke peringkat phd tetapi ditolak kertas kerjanya. Mindanya telah diberi pencerahan soal itu. Tapi tidak mungkin seorang pensyarah biasa bisa memiliki rumah tersergam indah begitu. Ibunya juga hanya suri biasa. Kekayaan nenek moyang jauh sekali. Tambahan Furqan masih muda dan kacak, usia juga awal dua puluh.
    “ Maaf kalau pertanyaan itu mengganggu abang..,” ada nada lirih bertandang. Namun dia perlu tahu. Lambat laun dia juga akan tahu fikirnya. Biarlah jawapan hadir dari bibir suaminya sendiri. Kalau dari orang pasti ditokok tambah. Walaupun kebenaran itu selalu menyakitkan, tapi dia tetap mahu tahu.
    “ Baik, kalau abang beritahu, kita berbulan madu dua minggu lagi,” mata kanannya dikenyitkan. Sememangnya Furqan pandai mengambil hati. Ummi Khadijah senyum semula.
    Hati Ummi Khadijah berbelah bagi. Mengiakan pun tidak, melarang pula jauh sekali. Dia bukannya tidak mahu bersetuju terus, tapi kerja suaminya kelak bagaimana? Dia berkira-kira, baki cuti Furqan hanya tinggal satu minggu saja lagi. Satu minggu sebelumnya, mereka hanya menuai tunas cinta di rumah.
    “ Bagaimana si cantik?” Furqan memegang ulas dagu Ummi Khadijah, perlahan. Ummi Khadijah terkejut. Berona merah wajahnya. Malu.
    “ Sayang…,” panggil Furqan seraya melihat Ummi Khadijah kekal diam. Tembok malunya sukar sekali diruntuhkan.
    Kali ini Ummi Khadijah bertindak berani, dia berdiri dan mendekati suaminya.  Dua tangannya dilekapkan ke dada suaminya. Alangkah terkejutnya Furqan! Berdebar kencang jantung lelakinya. Nah, tahu takut.  Kira itu jawapan “ya” untuk bulan madu mereka.
    Dan biarlah dulu segala persoalan. Dengan izinNya, lambat atau cepat, dia pasti tahu.
    ………………………………………………………………………………………

     BERSAMBUNG...

    Thursday, April 28, 2011

    yahudi buta.. indahnya akhlaq baginda.


    Seorang pengemis buta tinggal di sudut pasar Madinah yang sibuk dengan hiruk pikuk pedagang dan transaksi jual belinya. Pengemis buta akan mengingatkan orang-orang yang lalu lalang dan mendekatinya, “wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya, maka kalian akan dipengaruhinya.
                   Jiwa Muhammad s.a.w benar-benar tulus dan bersih. Nabi s.a.w akan mendatanginya setiap pagi dan membawakannya makanan. Tanpa sepatah kata, Nabi menyuapkan makanan yang dibawanya ke dalam mulut pengemis yang membencinya dengan penuh lembut dan ehsan. Pengemis itu sama sekali tidak mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w yang menyuapkannya setiap hari sehinggalah saat Rasulullah s.a.w wafat.. AllahuAkbar..
    Setelah baginda wafat, pastinya tidak ada sesiapa yang menghiraukan pengemis buta, kerana selama adanya Nabi, yahudi buta beroleh makanan dan dilawati setiap pagi. Suatu hari, Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya, saidatina Aisyah, isteri Nabi tercinta  untuk bertanyakan apakah ada lagi kebiasaan kekasihnya Muhammad s.a.w yang belum beliau kerjakan. Aisyah lalu menjawab dengan sopan “ wahai ayah, ayah adalah ahli sunnah dan hampir tidak ada suatu kebiasaannya pun yang belum ayah kerjakan, kecuali satu sahaja”.
    “ apakah itu?” Tanya ayahnya benar-benar ingin tahu.
    “ setiap pagi, Rasulullah s.a.w selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang yahudi buta yang ada di sana,” jawab Aisyah.
    Keesokan paginya, Abu Bakar r.a pergi ke pasar dengan membawakan makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya.
    Saat Abu Bakar menyuapkan jemarinya ke mulut pengemis, pengemis itu naik berang dan memarahinya. “ siapakah kamu?” bentaknya dengan amarah.
    Abu Bakar menjawab, “ Aku orang yang biasa (mendatangi engkau),”
    “ bukan! engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” bantahnya penuh yakin. “ apabila dia datang kepadaku, tidak susah tangan itu memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Dia menambah “orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu akan dihaluskannya makanan tersebut, baharulah diberikan kepadaku,”
    Abu Bakar yang benar-benar rindu dengan Rasul junjungan menangis. Dia benar-benar sudah tidak mampu membendung air mata yang berderai jujuh sambil berkata, “ aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w.”
    Pengemis yang mendengarkan tutur Abu Bakar turut sama menangis.
    “benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku walau sedikitpun, dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia… “
    Pengemis yahudi buta tersebut mengucapkan kalimah shahadah di hadapan Abu Bakar r.a saat dan detik itu. Hiduplah dia sebagai seorang Muslim lantaran akhlak nabi yang luar biasa,
    SubhanAllah sahabat-sahabat! Indahnya akhlak baginda , lembut dan hikmahnya dakwah Rasulullah s.a.w yang luhur, sehingga mampu mencairkan hati yahudi yang buta. Yang kerap memarahinya malah mencercanya sepanjang masa. Mereka tertarik dengan akhlak baginda lalu memeluk Islam dan merasai nikmat Islam. Tapi lihatlah kini, Kita bersusah payah mengajak mereka mengenali Islam yang pasti dan sudah pastinya membawa pada jalan yang indah. zaman serba serbi menempah kemodenan, secantik manapun Islam tidak kelihatan dek tenggelam dengan akhlak orang Islam yang tiada jati Islamnya..
    Baginda ialah ahsanul akhlaq, semulia-mulia akhlak. Marilah kita meneladinya… walau sedikit cuma..insyaAllah muhasabah dan istiqomah.! mari berselawat ke atas junjungan.. renew shahadah, praktik penuh Islam yang indah... insyaAllah..
    kita juga pengemis, didunia.. mengemis redha Yang Esa..

    Fakta menarik tentang wanita dan lelaki


    suami isteri harus saling memahami
    1. Kebanyakan wanita tidur lebih lama daripada lelaki pada waktu malam
    2. Bayi perempuan lebih cepat berjalan dan bercakap
    3. Sel darah wanita lebih sedikit daripada lelaki tetapi berat otak mereka kurang daripada berat otak lelaki.(berat otak lelaki lebih kurang 1.4kg)
    4. Wanita suka memikirkan sesuatu masalah dengan terperinci (contohnya penggunaan alat baru)
    5. Deria bagi kaum wanita lebih baik daripada lelaki disebabkan hormon estrogen yang tinggi. Hormon tersebut merupakan penggerak deria bau.
    6. Wanita mpy 75% lebih banyak kelenjar keringat (yang menghasilkan bau badan) daripada lelaki.
    7. Lebih ramai wanita memakai cermin mata antara usia 16-44 tahun berbanding lelaki
    8. Menurut satu kajian di England, suara wanita melambangkan sifat, tingkah laku dan cita-cita mereka.
    9. Kebanyakan wanita mempunyai bibir yang lebih besar
    10. Nyanyian wanita lebih baik
    11. Lebih daripada 55% wanita membuat pemeriksaan gigi, lelaki hanya 40%
    12. Gigi dan bentuk kerongkong wanita berbeza dengan lelaki. Sebab itulah suara wanita lebih halus dan lembut
    13. Lebih banyak wanita menggunakan cincin kahwin untuk menyempurnakan fitrahnya
    14. Lebih daripada 2 kali ganda wanita suka hidup sendiri setelah berusia 65 tahun
    15. Wanita menghasilkan 2juta sel telur sepanjang hidup bermula ketika berusia 4 bulan dalam kandungan ibunya. Lelaki pula menghasilkan sperma sepanjang hayatnya. 
    16. Satu kajian di AS menunjukkan bau ketiak lelaki mampu melegakan mood dan tekanan wanita
    17. Lelaki sukar memahami dan wanita suka berkias
    18. Kebanyakan lelaki lebih cepat tidur daripada wanita pada waktu malam
    19. Sperma lelaki menentukan jenis gender bayi
    20. Pergantian kelamin lebih banyak dilakukan lelaki
    21. Lelaki lebih banyak timbunan lemak di perut dan wanita lebih banyak timbunan lemak di punggung
    22. Lelaki suka berterus terang dengan tujuannya, manakala percakapan wanita terputus-putus dengan keraguan dan perasaan. Ini kerana serabut penghubung antara belahan otak kanan (intuisi) dan kiri (logika) lebih daripada wanita sehingga apa yang berkaitan dengan perasaan lebih mudah terjadi pada wanita
    23. Kemampuan lelaki untuk menikmati rasa masam, manis dan masin lebih rendah daripada wanita
    24. Pada usia tua, sebahagian besar lelaki mengalami kebotakan. Ianya disebabkan oleh penghasilan yang berlebihan pada hormone androgen(hormone lelaki).
    25. Kebanyakan mata lelaki lebih besar daripada mata wanita dan warna putihnya lebih sedikit daripada wanita
    26. Secara umum, hidung lelaki lebih besar daripada wanita. Kebanyakan wanita pula mempunyai bibir yang lebih besar berbanding lelaki.
    27. Pendengaran lelaki menurun sekitar usia 32, wanita pula pada usia 37
    28. Peti suara lelaki lebih panjang dan saluran nafasnya 30% lebih besar
    29. Kekuatan meramas tangan lelaki 2 kali ganda lebih kuat daripada wanita
    30. Kira-kira 48% lelaki berdengkur ketika tidur, wanita pula hanya 22%
    31. Ketika terjadi perselisihan sesama jenisnya, lelaki akan menemui lawannya, manakala wanita akan menjauhi
    32. Kebanyakan lelaki membaca lebih lama daripada wanita dan wanita pula membaca  lebih banyak daripada lelaki
    33. Lelaki lebih memahami peta, dan cekap mengukur ruang. Lelaki lebih mudah melakukan pekerjaan pada waktu yang sama
    34. Kajian di Australia mendapati tiga kali ganda lelaki meninggal kerana kanser paru-paru dan penyakit jantung berbanding wanita
    35. Dalam status perkahwinan, harapan hidup lelaki lebih tinggi. Bagi wanita pula, harapan hidupnya lebih tinggi jika hidup sendiri.
    36. Kajian di Australia mendapati  86% pembunuhan dilakukan oleh lelaki dan 95% penghuni penjara adalah lelaki
    37. Kajian di England mendapati , anak lelaki lebih mudah terpedaya daripada anak perempuan

      Sekadar info bersama..
      insyaAllah.. Wallahualam.. 

      Wednesday, February 2, 2011

      apa khabar iman?

      Ke hadapan iman yang kurindu.


      Hari-hari terasa bungkam tanpa hadirmu menemani. Terkadang langkah terasa kaku, lidah terkedu, jasad termalu ..lantaran mengenang.

      Kububuh namamu dalam potret kenangan bahawasanya ku harus memiliki dirimu walau sukma badai menampar. Perih. Ya, itu yang sebenarnya ingin kukatakan. Masakan jiwa dan hati bertelagah tak ketemu kamu yang harus memacu keduanya. Masakan kuinginkan senang dalam usaha yang kejap. Malu sebenarnya!

      Apa khabar kamu iman?

      Maaf bila harus melampiaskan marah pada kamu yang tak mengerti apa-apa. Memperosok pada susuk kamu yang sirna. Lalu aku yang harus sentiasa berdamping denganmu, mencari. Padahal kamu ada. Hanya aku yang sengaja membenam diri dalam lumpur , lalu sesak menghirup udara bagai menaiki langit tujuh angkasa.

      Iman, saat kamu meminta izin pergi dari teratak diri..

      Apa harus ku katakan bahawa aku amat memerlukan. Kamu adalah sebuah diri yang hilang! Kamu adalah sebuah jiwa yang amat kudambakan!!kamu adalah kesetiaan yang harus kulampiaskan demi mendakap cinta Tuhan!! !iman, ego aku, padahal sebenarnya percaya kamu ada. ..

      Kuseru-seru…

      Love Letter Generator


      Iman, saat tertancap retina mata di hamparan sejadah, jujuhnya melaju deras. Khusyuknya sirna, sehilang bayanganmu. Tiada rasa indah jalan yang kulangkah. Tiada rasa tenang jiwa yang kugonggong.. ya, terasa hanya makhluk yang berjalan tanpa hala.

      “percaya”.iman.

      Sebuah kewujudan,. Hanya kamu yang mengenal erti betapa aku memerlukan. Ini sebuah janji yang kusarung di kemanisan dirimu.

      Percaya!. Iman sebuah kepercayaan. Percaya wujudnya Tuhan. Yang menciptakan. Hanya satu tiada dua tiada tiga. Percaya namun mengharap jua pada kelainan. Harus mencari sebuah kepercayaan tentang kewujudan. Erti sebuah perjalanan insan. seperti percayanya kamu pada yang kuungkap. Sebuah kemanisan. Iman!
      beriman kepada Allah

      Dalam hati, wujud kamu. wujud iman. ada dalam diri sedari merah lagi.
      pernah berjanji meratapi sedari alam rohani. bila ketemu dunia mula mungkir, menghisap muntah sendiri.

      Lalu khabar apa yang tertera? Kunanti jawaban dalam perlakuan..

      bukan hanya sebuah catatan.

      Tuesday, January 11, 2011

      Kenang dek untung!!



      lapar? sayur yg terbaik....
      Hari-hari merungut sendiri. Hari-hari juga kocek kuseluk. Harap-harap ada seposen dua buat menggenap baki duit seringgit. Lambat benar PTPTN masuk. Ah, aku rimas. Hari-hari makan nasi berlauk telur.telur pula bahagi 3. Kuah kicap pekat masin .pembuka selera pemati rasa.  azira pula hari-hari cicah budu. Ada serinya budu mungkin sampai impaknya bikin azira tak senang duduk.,Katanya  kalau sehari tak jamah budu, tengok dari jauh pun jadilah. Memang macam-macam rasa ujarnya dia . menjilat jari, kaki segala. Pun perut bergazal pohon diisi, tetap juga duit tak mencukupi.
      Mee segera, sakit pun segera! tidak gemar aku menjamahnya lantaran kesan jangka panjangnya yang ku tahu benar-benar memudaratkan. Tahu-tahu saja nanti jadi obesiti, tak pun penyakit berbahaya menjadi-jadi . Harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan kenyang, kenyang makan diri. Apa-apa saja penyakit menjengah lantaran MSG. mereka apa tahu! Yang diingin hanyalah mengisi perut sekadar-sekadar. Pun begitu kesihatan itu aset tak terkejar.. Tak ternilai tak terbandingan.
      Aiseh, ke situ dah pulak.

      Hari-hari menung jauh.
      “manja, jom gi makan,” ajak azira beria-ia.kalau belanja bolehlah ku angguk menandakan “ya”. Perut menangis pinta diisi.
      Namun tiada tanda seperti di damba.
      Azira pantas berlalu, bila aku tak mengangguk memberitahu. Huh… mengeluh kesekian kali. Sedih rasa tak terperi. Keroncong perut berbunyi lagi. Beginilah lagaknya seorang Manja, bila PT tak kunjung tiba.  
      Ada harapan!
      Pantas telefon bimbit kucapai.
      “ hello mak, bapak ada tak?”
      Selalunya jarang telefon rumah didail . kalau tak kerana takut malam tak terisi dengan lelap lantaran ngantuk dalam lapar, tak ku kepingin menelefon rumah. Bertanya khabar jauh sekali.
      Duit punya pasal!

      Janji kutabur., bahawasanya, bila masuk PT nanti, duit belanja akan ku hambur. Seorang ayah berhati luhur. Seorang ibu berjiwa mahsyur… jiwa mereka Berjaya kulentur. Akhirnya emak memberi belanja dapur. Esoknya hanya sayur mampu dilayur. Mereka berlapar lagi. Sebuah episod tiada henti. 

      Duit !duit!duit!
      Sudah dapat duit belanja.
      Kasut baru, buku baru.. fuh.pastinya novel genre cinta. Isinya sarat isi berita. Fantasi dunia direka-reka. Itulah yang ku mahu. Hidup dalam rekaan semata!
      Semua baru!!!
      …………………………………………………
      Hari itu tiba. Duit PT masuk berpesta. Malam gelap terasa bercahaya. Siang terang menambah ceria. Yahoo!!
       Duit PT datang bergolek. Hutang ayah dibolak balik. Keluarga di rumah menangis asyik. Lantaran dia yang tak bayar balik…. Alahai… adakah patut….

      Janji tinggal janji. Mudah benar mengikat janji.
      …………………………………………..
      Aku duduk, memandang ke luar. Bias-bias cahaya muncul dari riak air selepas hujan. Bertakung di jalan bertar. Benarlah, kusangka panas di tengah hari, rupanya hujan membasah bumi. Terkuyup segala, terlupa yang nyata. . Namun mentari mengasyik lagi.
      Terjujuh air mata, kenangan lama menerpa.
      “ mak nak pergi mana?” tanyaku ingin tahu. Masa itu aku baharu darjah 2.
      “ nak pergi sana sekejap.” Mak menuding ke  arah sebuah bangunan lama. Batu bata di sini sana. Kukira bangunan itu bakal diruntuhkan.
      “ owh.. nak ikut…” rengekku berulang kali.
       Aku sering mengikut emak ke bangunan itu. Untuk sebuah agenda tersembunyi.
      Lalu langkahnya kubuntuti. Gemar bermain di bangunan itu. Ada hasil tak terkira.
      Wah… timbunan” emas” di depan mata. Pastinya tinggalan pekerja yang membersih sekitarnya.
      Dikutip satu persatu. Tin kosong berdeting bunyi. Dalam guni diikat tali. Akhirnya sebuah rezeki, diperoleh kala dini hari.
      Ku lihat wajah emak. Ada seri terpancar persis pengantin malu di pelamin dunia. Peluhnya diseka, dengan tuala usuh berwarna jingga.

      2 jam di situ, sedikit awal dari kebiasaan. Bang magrib dilagu sayu. Kembali kerumah kira-kira 5 meter lagi. Lauknya pasti sedap esok hari. Bukankah sudah beroleh untung hari ini.?Wajah terukir puas, senyum sendiri.
      Saatnya tiba, emak dan bapak ke kilang memproses tin. Aku dan 6 beradik yang lain duduk bersila, menanti  sabar. Dari pagi mereka ke sana. Batang dagu pun belum terbayang. Lalu perut berlagu malang.
      Kakak segera ke dapur. Adik bongsu menangis kecil. Susu tin habis lagi. Mana mungkin perut dibiarkan merengek tangis. Kerak nasi terendam. diangkat dari air yang menenggelam.
      Kami sekaliannya senyum lebar. Dari bibir memanjang ke telinga.
      Sudah boleh dikikis!
      Lalu dimasukkan ke dalam pinggan. Digaul sebati dengan gula. Ditambah garam penyukup rasa. Adik pinta ditambah lagi. Sayangnya kerak nasi sedikit kali.
      Itulah sebuah menu istimewa. Dijamah dilahap kesekiannya. Hatta ikan tak kelihatan. Lauk kosong jadi habuan.

      Kembali ke dunia nyata.
      Pantas derai berkaca melaju. Menurun ke hidung kerana baringku miring. Sebelah kanan menghadap dinding. Inilah seorang aku. Harusnya kenang dek untung. Baharu PT diperolehi, laksana bulan dijunjung tinggi. Bagaimana nanti suatu hari? Beroleh kerjaya bergaji tinggi.. lupakah diri??


      Wangnya RMxxxx. Pinjamannya ku kembalikan. Hasilnya kami makan bersama. Walau sekadar duit PT!