Monday, July 18, 2011

novel bersiri : Buruj-buruj cinta, bab 1 dan 2

BAB 1 dan 2: BURUJ-BURUJ CINTA
Cinta bertunas

Kejadian gempa bumi di Jepun menggigit rasa. Bantuan kemanusiaan diagihkan berupa beras, barang-barang dapur, serta pakaian dan selimut untuk kemandirian hidup mereka. Serasa ada ejekan yang menerkam tangkai hati warganya tatkala bumi animasi itu tiada penyelamatnya. Wajah-wajah warganya kelihatan sugul dan layu. Bukanlah cerca dan maki yang didamba saat itu tapi huluran bantuan yang tak putus-putus mahunya. Ura-ura juga mengatakan ketua penduduk di kawasan bencana tidak menginginkan simpati dan bantuan. Itu hanyalah agenda sherif dunia kerana rata-rata penduduk tempatan berterima kasih kepada negara yang meringankan beban termasuk Malaysia. 
“ Ini kejadian yang ke berapa?” tukasnya seraya meninjau-ninjau kawasan bencana.
“ Belum termasuk dalam kiraan prof. ,” Hamza mencatit sesuatu pada buku catatannya. Pensel tulis diselitkan ke telinga seusai menulis. Lagak orang pintar.
“ Mengikut keterangan saksi apa?” soal sang professor. Dia tidak ralit dengan kajiannya. Seorang professor berwibawa daripada luar negara. Memahami pelbagai jenis bahasa. Mempunyai kreadibiliti luar biasa. Dan sekarang, dia mahu mengkaji kaitan antara bencana di Jepun dengan kehadiran makhluk luar dari bumi, alien.
Hamza juga meraih pengalaman luar biasa. Dia takjub sekali dengan menjadi pengikut Profesor Agaza. Seorang  mulhid atau tidak punya agama yang pada asalnya penganut agama Kristian yang tegar.
“ Rata-rata saksi yang berada di luar rumah menyaksikan tanda luar biasa. Bentuk cincin di langit, cahaya pelik seperti awan di waktu senja dan saya syak , ianya fenomena yang sama di Chile juga di China,” Jelasnya dengan mata bercahaya. Kejadian gempa bumi bermagnitud 8.8 di Chile pastinya mengejutkan dunia, dan sekarang berlaku di Jepun pula dengan magnitud 9. Suatu hari nanti di mana pula?
“ Ya, saya juga merasakan yang sama. ,” ujar Professor Agaza seraya tersenyum. Seolah-olah ada sesuatu yang direncana. Mungkin saja penemuan awal mampu menyelamatkan nyawa dan persediaan menghadapi gempa. Itupun sekiranya hipotesis yang dibuat adalah tepat. Cita-cita memperoleh anugerah Nobel bakal dalam genggaman kalau saja kajiannya berhasil. Benar-benar akal pintar seorang ilmuan.
“ Nanti pula kita ke mana ?” Hamza gemar membuntuti Prof. Agaza. Dia bebas ke luar negara. Semuanya percuma!
“ Mesir,”
…………………………………………………..
Beberapa bulan sudah berlalu sejak sekembaliannya daripada bumi matahari terbit. Belum puas sebenarnya, kerana tanah Osaka belum sempat diinjak. Terbitnya matahari di bumi itu belum sempat diperlihat. Sejuk bekunya salji hanya sempat ditatap dari balik jendela. Semuanya kerana keperluan kerja dan penyelidikannya.
Furqan duduk di pinggir katil. Sipi-sipi saja punggungnya dan dia hampir terjatuh. Kertas kerja ditolak mentah-mentah oleh pihak atasan. Kajian demi kajian menemui jalan mati. Seolah-olah ada denai-denai yang ditinggalkan, dan kini menuju ke sungai yang berkelodak. Buntu!
Jelas terdengar nada dering  kembali dari beg bimbit yang terbuka. Dibiar kejap telefon menjerit kerana keasyikan pada transkrip penemuan terkini soal kajiannya. Tangan dihulur namun telefon sudah bisu suara.
 Ibunda Furqan mampir. Dia juga tidak sedar.
“ Furqan sayang,” panggil Hajah Kalthom lembut. Di tangannya ada dulang dan santapan. Lantas Furqan berpaling. Tidaklah dia membiarkan ibunda memanggilnya berkali-kali tanpa jawapan. Berdosa besar kelak.
Dia menghadirkan secalit senyum. Manis, semanis kulitnya yang sawo matang. Cermin mata ditujah ke atas. Titis peluh diseka dengan kura tangan. Perut juga berbunyi kerana sedari pagi dia belum menjamah apa-apa hidangan. Sehiris tembikai dan kurma seperti inti makanan nabi yang menjadi hidangannya saban hari juga belum jatuh di perut. Makanan itu jugalah yang ditatang oleh ibunya.
Furqan mencium tangan ibunya lalu santap. Tidak gelojoh dan penuh ketertiban.
“ Furqan, ibu mahu minta sesuatu darimu,” pohon ibunya perlahan.
Furqan tertegun, belum pernah juga ibunya berkelakuan ganjil sebegitu. “ Katalah ibu, InsyaAllah akan ditunaikan selama mana tidak melanggar batas dan syariat,”
“ Kahwinilah Ummi Khadijah, anak teman ibu. Dia mahu bebas dari fitnah yang membelenggunya. ,” ujar ibunya tanpa banyak sendi bahasa dan selit nada. Sekeping foto dihulur. Furqan mengambilnya dengan cermat dan meletakkan dalam kemas di atas meja. Tidak sekali-kali anak matanya diajar mencuri pandang meski hanya sekeping foto. Gambar itu juga ditelangkupkan.
Permintaan ibunya tidak melanggar syariat., malah bakal melengkapkan jiwa Furqan sebagai lelaki sejati dengan pernikahan selaku sunnah yang dituntut. Bukankah Adam juga lengkap dirinya sebagai lelaki tatkala Hawa hadir menjadi permaisuri? Furqan tahu itu. Malah dia tahu ibunya hanya mengharapkan kebahagiaan hidup anaknya. Itu saja.
Senyum masih terparkir di bibir. Dengan ungkap kata Bismillah, furqan menyetujui permintaan ibunya.
Telefonnya berbunyi lagi. Kali ini dia lekas menyambar dan terus menekan punat hijau. Tertera nama seseorang di skrin.
Hamza
…………………………………………………………..
Ummi Khadijah, secantik namanya. Dia hadir dalam hidup Furqan persis pelangi yang terukir selepas hujan. Wajah cantiknya menjadi kedambaan ramai jejaka.  Beruntunglah sesiapa yang memilikinya. Ilmu agamanya juga harus diakui mukmin yang menginginkan serikandi Islam sejati.
Namun bagi Ummi Khadijah, perkahwinan tidak seindah itu. Harus banyak cabang-cabang dugaan yang perlu dilalui. Kalau saja tersilap langkah. Punah. Petang itu mereka dipertemukan.
Ummi Khadijah ditemani mahramnya dan Furqan juga begitu. Mereka tidak melirik manja walaupun pernikahan  bakal menyatukan dengan izin Allah. Bukankah lirikan mata itu panah-panah dari syaitan. Mohon disimpangkan semacam zina apapun pada Dia Maha Memiliki. Perlu apa juga merasa nikmat sebelum kahwin, berpeluk-peluk, bersalam-salam dan bermesra.
Rasulullah s.a.w bersabda dan diriwayatkan oleh Thabrani, seandainya kamu ditusuk dengan jarum besi, maka itu lebih baik bagimu daripada menyentuh perempuan yang tidak halal bagimu. Hadis itu tersemat kemas di nubari Furqan.
Tanpa banyak soal dan bicara. Juga tanpa pantun dan puisi-puisi yang menyukarkan permuafakatan. Mahar ditetapkan, tidak terlalu lebih nanti menyusahkan, juga tidak terlalu kurang nanti memalukan. Termeterai janji antara mereka.
Dua minggu lagi mereka akan dinikahkan. Cukuplah sekadar membuat kad jemputan, itupun tidak perlu dengan grand dan menunjuk-nunjuk. Tanpa banyak karenah birokrasi. Bukankah Islam itu mudah dan memudahkan?
………………………………………………………………………………………..

Malam masih muda.  ada hujan yang menambah bibit romantika. Seusai lafaz yang menghalalkan ikatan, dia mencuri pandang wajah calon isteri, tepat sekali isteri secara total!
SubhanAllah, cantik sekali.
Kamar mereka diharumi wangian mawar merah.
“Abang lihat apa?” tanya Umi Khadijah tatkala melihat sang suami menatap potret gambar.
“ si cantik..”
Umi Khadijah jadi cemburu.
“ ya, pasti saja banyak bunga yang lebih harum sempat dipetik sebelum menjumpai bunga yang mahu membusuk ini,” demikian Umi Khadiah berkias, tenggelam sekali suaranya,
Furqan mampir. Ada debar di hati sang puteri.
“ Si cantik itu bintang, dan bintang itu ada di langit. Langit hati.,” liriknya manja. Dia menyambung dengan lunak suaranya, “ So’unuzzon (berfikir buruk) itu harus dielakkan ya sayang..,” ada getar di hujung panggilan. Ungkapan “ sayang” yang pertama kali dialunkan di bibir seorang lelaki, khusus untuknya. Mencemaskan lewat malam begini.
Furqan berpaling. Dia merenung bintang-bintang. Fikir Ummi Khadijah suaminya marah dengan telahannya. Kalaulah dia dijemput Illahi saat dan kala suaminya tidak redha padanya. Aduhai..
Ada dua tangan yang muncul dari balik pinggang Furqan. Betapa terkejutnya dia. Sebuah pelukan erat tapi penuh dengan kelembutan. Bau pemiliknya juga harum aromaterapi. Tenggelam dalam indahnya suasana.
“ Sayang.. marah?” Ummi Khadijah cuba mentelah isi hati suaminya Furqan. Membiasakan diri dengan panggilan yang dijaga rapi dua dekad lamanya.
“Tidak..,” jawabnya ringkas.
“ Kecil hati?” pelukan itu dilonggarkan.
“ Sayang harus belajar mengambil hati,” menarik semula tangan Ummi Khadijah agar melekap tubuh mereka. Ada ketawa nakal di ujung lafaz. Satu cubitan halus singgah di pipi isterinya yang mula bergerak tempat ke sisi pinggang kirinya.
“ Sayang cantik sekali,”
“ Tahu..,” ujar Ummi Khadijah sekadar berleluncon.
“ Abang juga tahu, dan itulah yang menggusarkan,”
“Maksudnya,”
“ Abang tidak suka berkias, membuang sedikit masa yang memang sedikit.,” membahasakan dirinya abang supaya wujud sedikit rasa hormat antara mereka.
“ Maka berterus teranglah,” pujuk Ummi Khadijah.
“ Nil memanggilku, Kaherah juga begitu,”
Ummi Khadijah hanya diam. Membenarkan sang suami mengambil secukup masa untuk memberi sebuah penjelasan.
“ Lihat bintang itu,” Keduanya-duanya menoleh ke arah sebuah bintang yang bercahaya, menandingi bintang lainnya. Jelas, sebuah bintang kejora. Mungkin kerana hujan saat ijab kabul tadi telah menutup pandangan malam, dan sekarang memberinya laluan untuk membawa sinar yang terbias daripada mentari.
Furqan menyambung dengan redup suara, “ Abang harus mencari kebenaran cerita itu. Bintang hati abang akan sentiasa dekat di hati.,”
“ Cerita?” baru kali ini dia berani bersuara.
“ Ya cerita,” Furqan pantas menukas. “ berkaitan worm hole, alien, gelombang cincin di dada langit..”
Umi Khadijah diam tanpa bahasa. Kalau mengikut gelojak hati, ingin saja dia memuntahkan segala suarasa dan hamburan pertanyaan. Namun bukankah kesabaran pada pertama kali itulah yang terbaik. Wahai hati, bersabarlah. Dengan izin Allah, lambat atau cepat, dia akan mengetahui segalanya tentang Furqan. Apalah yang tinggal kalau tiada rahsia lagi yang harus dicungkil. Rahsia dan misteri itulah yang memberi nilai pada diri individu. Perlahan-lahanlah, alon-alon saja.
Furqan sedar pada riak wajah isterinya yang bergelombang, seperti juga gelombang yang hadir  di dada langit yang mungkin sebagai tanda luar biasa sebelum Jepun dan Chile dilanda gempa. Mungkinkah memang benar makhluk asing seperti yang Hamza katakan padanya benar?. Zikir  saja buat menenangkan hati. Saat berbulan madu begini pun penyelidikannya masih mahu mengacau dan membuat onar?
Bukan senang mahu memberi penjelasan. Setakat ini juga hanya ibundanya yang mengetahui gerak geri hidupnya di sebaliknya kerjayanya sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti di ibu kota. Gerakan dakwah agamanya juga tidak harus tinggal diam, kerana agamalah yang memberinya cahaya hidup.
“ Sayang diam?” Ummi Khadijah menatap penuh wajah bujur sirih suaminya. Ada janggut comel di balik dagu, tiada kumis dan kalau ada pun tidak merosakkan penampilannya. Dia kacak sekali fikir Ummi Khadijah.
“ Mencuri pandang?” gurau Furqan. Pandangan mata mereka bertaut. Kedua mempelai jadi malu.
Meski fikirannya diasak-asak, cukuplah dulu, malam itu milik mereka. Meski juga sebentar cuma.
Potret foto diambil semula daripada meja, diperhati bersama.
Wajah Ummi Khadijah yang cantik rupawan ditatap. Dia jadi malu.
Bibir Furqan tepat menempel di dahi isterinya.
Indah sungguh cinta.

Telefon bimbit berbunyi lagi. Kali ini pantas ditekan butang hijaunya. Nama pemanggilnya juga jelas di skrin telefon.
Hamza.

Bab 2:
Menuai cinta
“ Mahu makan angin di mana?” tanya Furqan beria-ia. Wajahnya juga gembira keanak-anakan. Lama sekali dia tersenyum merenung raut cantik isterinya, Ummi Khadijah.
Tidak luak, tidak jemu!
Ummi Khadijah hanya membalas renungan. Dia juga tersenyum. Manis dan menggoda.
“ Kita sudah berbulan madu bukan?” kerling Ummi Khadijah.
Tangannya ligat mencuci pinggan dan perkakas dapur. Sedikit berdebu fikirnya. Seminggu lepas dia dibawa ke rumah itu sebagai permaisuri, dan sekarang hanyalah suri biasa. Wajarlah ada perkakas yang tidak sempat dijamah untuk dibersihkan kerana banglo besar itu hanya dihuni dua beranak sebelum kehadirannya. Indahnya dekorasi rumah juga serasa membawanya menjelajah ke dunia Inggeris. Lalu mahu ke mana lagi?
“ Setakat di rumah? Pastinya wanita cantik sepertimu ingin ke tempat yang cantik juga.,” Furqan cuba bermain tali.
 Normallah pasangan pengantin berbulan madu di luar. Meski rumah banglo yang rata-rata dindingnya di cat putih itu cukup indah untuk didiami dan memadu cinta, namun dia ingin bersama isterinya menghirup angin segar di luar. Kalau boleh ke luar negara. Ke kota cinta agar rasa cinta yang mereka bangunkan terus  melonjak seperti menara tinggi.
“ Lalu di mana?” Ummi Khadijah sebenarnya mahu, tapi dia malu. Dia tahu, membeli sayang juga perlu tawar-menawar.
Furqan bersandar pada kabinet dapur yang dibuat daripada kayu semangkuk. Rona warnanya lembut. Hiasannya juga menarik. Sesekali tancap mata Ummi Khadijah jatuh pada hiasan kabinet pinggan itu. Sebenarnya kalau boleh dikatakan, serba-serbi menarik.
Furqan menarik tangan Ummi Khadijah agar mengikutinya. Mujur isterinya sudah hampir siap mencuci dan baru usai membasuh tangan, kalau tidak pasti saja berbuih tangannya. Ummi Khadijah hanya membuntuti Furqan sedang tangannya digenggam erat kini.
Mereka sampai di gazebo di luar halaman rumah. Ianya sebuah pondok rehat dan didekorasi dengan dua buah kerusi antik . Sebuah meja kopi berkaki tiga menjadi penyeri di tengahnya. Tiang gazebo dicat keemasan dan dilingkari untaian tumbuh-tumbuhan. Laman di sekeliling gazebo juga dihias dengan tanam-tanaman renek serta pohon-pohon menghijau. Laman letaknya gazebo itu di tepi kanan rumah, dan jalan ke situ disambut oleh batu-batu sungai yang beraneka saiznya. Mengikut ahli kesihatan, amalan memijak batu sungai dengan kaki ayam baik untuk kesihatan, mungkin itulah tujuannya wujud di situ.
Ummi Khadijah cukup kagum dengan gazebo dan laman itu.
“ Mengapa diam?” tanya Furqan. Dia mencuri pandang wajah isterinya yang leka dengan hiasan sekitarnya sedari tadi. Dia suka sebenarnya memperlakukan Ummi Khadijah seperti itu. Bukannya salah apapun.
“ Semuanya cantik sekali,” ringkas saja jawabnya.
“ Secantik dirimu juga,” ada seulas senyum di bibir Furqan.
Ummi Khadijah membalas senyum. Takut nanti suaminya jadi “SS” aka senyum sendiri.
“Kalau boleh ummi bertanya..,”
“ Silakan saja sayang..,” lancar sekali ungkapan itu diluah. Mungkin saja dia sudah berlatih beberapa kali sebelum mengungkapkannya. Ummi Khadijah sejujurnya belum biasa dengan panggilan itu. Tapi kalau dihayati, indah sekali. Suami sendiri juga, bukan orang lain.
Ummi Khadijah menelan liur. Moga saja pertanyaannya tidak menggusarkan hati Furqan. Dia mahu mengelakkan kejadian seumpama itu.
Matanya ditatap dalam oleh Furqan. Rasa mahu tembus isi hatinya diperhati begitu. Rasa mahu melayang juga ada.
“ Ungkapkanlah…,”
Ummi Khadijah tunduk. Dia kalah. Tidak betah berlawan renungan.
Satu perkara yang dia sedari seawal pertemuannya dengan Furqan, berterus terang dan jangan berdalih. Furqan juga menyedari gelisah hati isterinya dari awal lagi. Soal pekerjaannya. Soal kekayaannya.
“ Kerja abang pensyarah?” Ummi Khadijah menarik nafas panjang. Pelik pula terasa soalannya.
 Furqan menghidu gusar di hati isteri. Bukanlah dia tidak mahu memberitahu soal diri dan kerjayanya. Rancangannya untuk memberitahu perihal diri pada saat dan detik yang sesuai. Tapi kalau tidak sekarang bila lagi? Takut pula kalau-kalau Ummi Khadijah tidak mampu menerima kerjanya, kebanyakan masyarakat juga begitu. Tidak mahu pula isteri yang mula diterap penuh rasa cinta menjauh gara-gara tidak menyukai pekerjaan yang dilakukan. Sukar sekali.
Angin yang menampar wajah seolah-olah menjawab pertanyaan Ummi Khadijah. Bukannya dia tidak tahu Furqan bekerja sebagai seorang penyarah di universiti dengan kelayakan master dan sedang berusaha menyambung pengajian ke peringkat phd tetapi ditolak kertas kerjanya. Mindanya telah diberi pencerahan soal itu. Tapi tidak mungkin seorang pensyarah biasa bisa memiliki rumah tersergam indah begitu. Ibunya juga hanya suri biasa. Kekayaan nenek moyang jauh sekali. Tambahan Furqan masih muda dan kacak, usia juga awal dua puluh.
“ Maaf kalau pertanyaan itu mengganggu abang..,” ada nada lirih bertandang. Namun dia perlu tahu. Lambat laun dia juga akan tahu fikirnya. Biarlah jawapan hadir dari bibir suaminya sendiri. Kalau dari orang pasti ditokok tambah. Walaupun kebenaran itu selalu menyakitkan, tapi dia tetap mahu tahu.
“ Baik, kalau abang beritahu, kita berbulan madu dua minggu lagi,” mata kanannya dikenyitkan. Sememangnya Furqan pandai mengambil hati. Ummi Khadijah senyum semula.
Hati Ummi Khadijah berbelah bagi. Mengiakan pun tidak, melarang pula jauh sekali. Dia bukannya tidak mahu bersetuju terus, tapi kerja suaminya kelak bagaimana? Dia berkira-kira, baki cuti Furqan hanya tinggal satu minggu saja lagi. Satu minggu sebelumnya, mereka hanya menuai tunas cinta di rumah.
“ Bagaimana si cantik?” Furqan memegang ulas dagu Ummi Khadijah, perlahan. Ummi Khadijah terkejut. Berona merah wajahnya. Malu.
“ Sayang…,” panggil Furqan seraya melihat Ummi Khadijah kekal diam. Tembok malunya sukar sekali diruntuhkan.
Kali ini Ummi Khadijah bertindak berani, dia berdiri dan mendekati suaminya.  Dua tangannya dilekapkan ke dada suaminya. Alangkah terkejutnya Furqan! Berdebar kencang jantung lelakinya. Nah, tahu takut.  Kira itu jawapan “ya” untuk bulan madu mereka.
Dan biarlah dulu segala persoalan. Dengan izinNya, lambat atau cepat, dia pasti tahu.
………………………………………………………………………………………

 BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment