Wednesday, April 10, 2013

Teguran untuk niqabis, akhi, akhowat muslimin muslimat daripada seorang Kristian.




melalui perjalanan yang panjang menuju ke destinasi, aku berpapasan (beriringan) bersama seorang gadis Kristian. Kami baharu kenal di stesen bus dan merancang bergerak bersama memandangkan destinasi yang kami tujui adalah sama.
 Syukur, gadis Kristian itu langsung tidak menunjukkan rasa kekok sepanjang bersamaku, memandangkan aku mengenakan niqab/purdah. Rasanya seperti kami sudah lama kenal, kerana sifat peramah yang ditunjukkannya, dan aku pula, ikut sama melayani dan bercerita. Cuma yang kurasakan sedikit pelik ialah,:

Mengapa dia tidak bertanya ‘mengapa aku mengenakan niqab, dan apakah perasaanku ketika ini? Bukankah ini soalan lazim yang ditanyai siapapun yang ingin tahu, terutama orang islam sendiri. (maaf, tidak melibatkan siapapun).

Terus, ketika menikmati makanan, aku sendiri bertekad memberitahunya tujuan aku mengenakan niqab, dan sambil-sambil itu, bertekad untuk menerangkan salah faham antara Kristian dan Islam dalam tempoh yang singkat ini. Tidak, aku tidak akan menuduh agamanya betul/salah di mata Islam, tetapi aku akan berusaha menjernihkan salah fahamnya tentang Islam. Itu bagiku jauh lebih baik.

Seperti yang kuharapkan, aku sendiri yang memulai soalan mengenai niqab.
(aku tidak tahu mengapa, hatiku meronta-ronta untuk mencerahkan sedikit mindanya tentang Islam)

" Tak rasa pelikkah tengok saya berniqab?" tanyaku.

Dia menggeleng, sambil menyuakan straw ke bibirnya.

Mataku tertumpu terus ke arahnya. Tersenyum. Aku pasti dia sedar isyarat mata itu.
Dia menjawab pula, " Biasa saja, selalu juga lihat gadis berpurdah sepertimu."
Tiba-tiba ada seorang wanita berniqab yang duduk di meja berhadapan kami. Kebetulan aku kira.


"Oh, tapi kebanyakan orang Islam sendiri rasa pelik melihat kami berniqab," luahku jujur, cuba memancing reaksinya.

"Begitu? Aku lihat biasa-biasa saja. Mengapa? "

Aku mengangguk, " Sebab niqab ini sekadar sunnah, tapi Alhamdulillah, ramai yang sudah mengenakannya. Dan di sini ia tidak kelihatan terlalu asing.”

“Sunnah? Aku pernah mendengarnya.. Ada seorang lelaki di kelasku katakan bahawa janggutnya yang panjang itu adalah sunnah. Ramai yang mempermainkannya di dalam kelas “perbandingan agama” kami, tapi dia katakan itu adalah sunnah nabi kamu.”
Jelas gadis ini sekadar tahu wujudnya istilah “sunnah” tapi tidak diterangkan apa.

‘Kasihan,’ Hati kecilku berbisik.

“Kelas perbandingan agama, oh, kamu mempelajarinya?”

“Ya, subjekku adalah pendidikan moral. Jadi itu adalah mata pelajaran wajib kami.”

Aku tidak melanjutkan diskusi kami berkaitan kelas perbandingan agamanya. Aku lebih tertarik kepada isu niqab dan “sunnah”. Sekadar aku menjedakan dahulu cerita perbandingan agama itu dengan penjelasan bahawa aku tertarik kepada ilmu teologi(agama dan perbandingan), sejak daripada tingkatan 3 lagi, dan tidak pula aku katakan bahawa aku hampir hanyut kerana tidak ada ilmu. Hampir-hampir terjebak dan mempelajari agama lain, kerana ya, aku tidak ada ilmu!

“Oh, menurutmu, maksudku, apa pendapat kamu tentang wanita yang mengenakan purdah?” tanyaku menggunakan istilah”purdah” dan bukannya “niqab”, walaupun kedua-duanya sedikit berbeza(tetapi fungsi yang sama).

“Bagiku biasa saja.” Jawabnya pendek.

“Oh..” aku mengangguk.

“Tapi,”

“Kenapa?” Telahku.

“Apa tujuan sebenar si pemakai purdah itu, sebab..” katanya dan diam sejenak.

“Sebab apa?”

“Sebab si pemakai purdah kulihat masih mengenakan pewarna yang berwarna warni, dan paling penting meletakkannya di fb. Apakah agamamu menganjurkannya?”
SubhanAllah! Aku meneguk liur. Seorang Kristian juga peka akan hal ini. Malu ya Allah~

“Oh, hakikatnya. Tujuan sebenar pemakaian purdah ini adalah untuk melindungi diri, Boleh kata menyembunyikan diri daripada anasir-anasir luar yang jahat. Purdah adalah sunnah isteri-isteri nabi, manakala janggut adalah sunnah nabi.”
Dia kelihatan bingung . aku pasti dia masih kabur dengan istilah “sunnah”, kerana tiada siapa yang menerangkan kepadanya sebelum ini.

“Dalam agama kami, ada hukum-hukum tertentu. Iaitu ada haram, halal, makruh, sunnah, wajib dan ada lagi..” kataku sekadar memberi sedikit penerangan, “ Sunnah pula, bila dilakukan dapat pahala, tak dilakukan tidak berdosa. Wajib pula seperti solat kami, tak buat berdosa, dibuat dapat pahala. Macam contoh agama kamu, seorang paderi tidak boleh menikah. Kira wajib baginya. Untuk menjadi paderi , tidak semua orang boleh melakukannya. Itu adalah tingkat keimanan yang tinggi dalam agama kamu. Manakala pemakaian purdah ini, merupakan usaha seorang muslim menjadi lebih baik. Tapi bukan bererti dia sempurna. Namun tak seperti paderi kamu, semua wanita islam boleh mengenakan purdah, tapi laksanakanlah dulu yang wajib.”Kataku agak panjang.

Dia mengangguk, tampak bersemangat untuk menyambung perbualan.

“Jadi yang tentang wanita mengenakan purdah tapi letak di fb,  bukankah sama saja, pakai purdah sekadar mahu ditunjukkah?”

Aku mengurut dada. Wajahku sedikit berubah, mujur dia tidak melihatnya.

Ya Allah, berilah aku ucapan dan kata-kata hikmah yang terbaik, aku berdoa.

“ Oh, sejujurnya, saya sendiri tidak gemar melihat wanita berpurdah meletakkan gambarnya di fb atau laman sosial lain. Tidak molek dan tak elok. Malah berposing pula.”
Dia mengangguk, aku tidak berniat menjatuhkan siapapun, tapi aku harus menerangkan dengan semampu yang boleh, seikhlasnya.
Aku menyambung, “Malah perbuatan mereka ini, menjatuh dan mencalarkan imej mereka yang berpurdah dengan niat lillahitaala. Maksud saya, yang sengaja menunjukkan diri berposing segala..,” luahkan mengingatkan segelintir mereka yang merendahkan martabat mereka yang berniqab dengan ikhlas, “ tapi manusia tak sempurna, saya kira yang buat sedikit onar ini adalah yang bahru hendak berjinak-jinak mengenakan niqab, tapi begitulah..” aku hilang semangat menyambung cerita. Aku kira ilmuku tidak banyak untuk mengupasnya panjang lebar, Allah saja yang memberikannya kefahaman kelak.

“ Oh, aku ada seorang ustazah semasa di sekolah dulu. Dia mengenakan purdah hari ini, dan keesokannya pula membukanya. Kenapa ya? Bolehkah begitu?”
“macam saya katakan tadi,purdah hukumnya sunnah. Gunakanlah bila perlu, dan tinggalkan bila perlu. Macam saya sendiri, saya tak kenakan purdah di dalam kelas, tapi cepat2 menggunakannya ketika perjalanan pulang . dan Alhamdulillah, saya gunakannya sepanjang masa, tolak campur di dalam bilik rumah. Maksudnya, saya gunakan niqab setiap kali keluar untuk keperluan. Dan soal ustazah yang mengajar di sekolah kamu tadi, mungkin pengetua tidak benarkan, jadi dia buka. Atau dia sedang cuba2 utk pakai, sebelum menggunakan secara  berterusan. Tiada salah, tapi sebaiknya, pakailah dengan istiqomah (sudah diterangkan kpdnya sebelumnya), kalau tiada aral.

“oh… “dia mengangguk faham. Semoga dia benar-benar diberi kefahaman oleh Allah.

“Ah, tentang perbandingan agama itu, kamu belajar tentang apa?” tanyaku membangkitkan inkuiri semula.

“ Tentang semua agama. Minggu lepas kami belajar tentang Islam. Minggu ni tentang Kristian. Lucunya adalah tentang agama budha. Maksudku, sedikit tidak masuk akal bagiku. Yalah, mereka percaya kepada tangkal-tangkal.”

Aku sedikit ketawa. “Benarlah kan, mana mungkin manusia bergantung harap kepada sesuatu yang mati. Ah, terlupa. Apa pendapatmu tentang Kaabah?”
Dia mengecilkan mata, tidak faham maksudku.

“ Begini, apakah kamu sebagai seorang kristian mengira seorang Islam menyembah kaabah?”
(sebenarnya tujuanku adalah menjentik emosinya tentang patung yang disembahnya.)
 Dia diam.

“ Contoh, kalau kami mengalihkan Kaabah ke sisi lain, apakah kami akan menyembah Kaabah yang sama atau menuju kiblat solat ke tempat asal.”

“Kamu bukan menyembah Kaabah?”
Aku menggeleng. Ya, aku mesti memberitahu.

“Kaabah merupakan pusat di bumi. Dan kami percaya ianya pusat tempat tawafnya malaikat di langit sana.(tidak aku jelaskan lebih lanjut, dan dia juga tidak bertanya. Juga ada sedikit aku terangkan mengenai simbolik rukun haji). Kalaulah Kaabah dipindahkan, kami tetap akan menuju kiblat yang sama. Azan yang dilaungkan dari seluruh pelusuk dunia tetap akan sahut menyahut. Dan yang paling best, jika dilihat daripada langit, Kaabahlah yang putih dan jelas kelihatan. dan ini adalah keajaiban.” Kataku. Dia menjegilkan mata. seolah tidak percaya. Maklumat selebihnya biar dia sendiri yang cari.

“Kamu tahu, ada rakan muslim di kelas memanggil air yang kami minum itu air setan.”

“Oh holy water?” tanyaku.

Dia mengangguk. SubhanAllah, mengapalah ada islam yang sebegini. Perbuatan seperti inilah yang memburukkan nama Islam.padahal Islam sangat menyeru tolak ansur. Bukan mencaci maki.

“Mereka tak sepatutnya lakukan begitu. Uit, kalau saya.. saya tak kan biarkan budak-budak ni buat begitu. Tak boleh. Seorang Islam yang sebenar takkan buat begini. Kamu buat apa semasa dicaci begitu?”

“ Kami diam saja. Bilangan kami tidak ramai. Dan bilangan Islam sangat ramai. Dan kebanyakan mereka ini orang Kelantan(maaf tidak bermaksud menjatuhkan atau bermaksud lain, malah Kelantan yang dimaksudkan adalah segelintir barangkali yang juga punya khilaf, tidak bermaksud sesiapa) yang mengambil Pendidikan Islam. Mereka menuduh kami orang Yahudi. Ya, mereka kata kami Yahudi.”

Aku meneguk liur sekali lagi. AllahuAkbar,

“Oh, kamu bukan Yahudi. Yahudi itu agama orang Israel. Walaupun ada juga penduduk dunia beragama Yahudi, tapi kamu Kristian bukan Yahudi. Yahudi itu kejam merekalah yang membuat propaganda semasa perang salib dulu. Merekalah yang cuba mengkacau bilau Kristian dan Islam.” Kataku tanpa lapik, “ dan mereka yang mencaci kamu itu, saya minta maaf bagi pihak mereka. Itu bukan ajaran Islam. Mencaci tidak dibenarkan dalam islam. Sepatutnya mereka menjelaskan tentang Islam sebenar, bukan buat begini.” Kataku sedikit beremosi.

“Ada lagi, selepas kelas, di dalam fb ada group utk membicangkan tugasan. Tidak cukup dengan menghina kami ketika di kelas, mereka sibuk  berbincang tentang agama kami di dalam group itu. Kami diam saja.” katanya tanpa selindung.

Aku mengambil nafas.

...
Mereka ini juga manusia. Punya hati dan perasaan. Jika muslim menunjukkan perilaku sebegini, saya tidak hairan mengapa mereka melabel kita begitu dan begini. Mana adab dan perlakuan kita?? 

Maaf, saya seorang Islam. Saya sayangkan Islam. Sangat-sangat. Maka, mohon. Jaga nama agama.

Teguran saya, tolong, jangan jatuhkah agama orang lain. Perbetulkan dahulu pemahaman orang tentang agama kita. Dan kita pula, jangan jadi batu api, jangan merosakkan nama agama sehingga menjatuhkan agama kita. Bagitahu saya, siapa yang mahu dengar agama mereka anuti dari kecil itu salah? Tolong faham situasi, jangan hentam keromo saja.

Kalau seorang mendengar, seorang pula bicara, kalau dua-dua bercakap dan bercakar, siapa yang mahu mendengar? Batu? Kayu” pokok atau tebing2??

Bukan listen, listen semata. tapi understand, understand , lepas itu buat tindakan.
Wallahua’lam.

Perkongsian ikhlas, manjalela/Khawlah al-Azwar
~sebarkanlah sahabat utk peringatan bersama in shaaAllah.b

Friday, June 8, 2012

Berita Gembira



BERITA GEMBIRA

“telah datang kepadaku malaikat Jibrail, memberitakan kepadaku: Barangsiapa yang mati di antara umatmu dan dia tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu, dia masuk syurga.”
Aku bertanya: “sekalipun dia telah berzina atau mencuri?”. Dia menjawab: “Sekalipun dia telah berzina atau mencuri”.
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Dzar Al-Ghifari.

Sababul Wurud(sebab turun hadis)
Dijelaskan oleh Al Bukhari, bahawa Abu Dzar telah menerangkan: Aku pernah berjalan bersama Rasulullah di Madinah, tiba-tiba baginda bersabda: “ wahai Abu Dzar, yang paling menggembirakan aku ialah bahawa aku mempunyai emas atau dinar yang dapat aku bayarkan untuk melunasi hutang dalam rangka ibadah kepada Allah…..” kemudian baginda melanjutkan: “ janganlah kau tinggalkan tempatmu ini sampai aku kembali lagi”. Kemudian baginda pergi dalam kegelapan malam sehingga baginda tiada nampak . Tiba-tiba terdengar suara keras dan aku khuatir ada orang yang menggangunya. Aku ingin menyusulnya namun aku ingat akan pesannya bahawa aku tidak boleh meninggalkan tempat. Tidak lama, bagindapun datang dan aku jelaskan kepada baginda bahawa aku mendengar suara yang menakutkan. Baginda bertanya: Apakah engkau mendengarnya?” jawabku “ya”. Kata baginda,” itulah Jibrail, ia datang kepadaku menyampaikan khabar gembira bahawa barangsiapapun mati di antara umatku dan dia tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu, dia masuk syurga sekalipun pernah berzina atau mencuri.

Keterangan:
Kedatangan Jibrail a.s membawa berita gembira bahawa umat Nabi Muhammad S.A.W sekalipun pernah berzina  atau mencuri, asalkan tidak berlaku syirik, masih mempunyai harapan masuk syurga, dengan cara terlebih dahulu dimasukkan Allah dalam neraka atau ditunjukan kepadanya jalan menuju taubat, yakni “taubatan nasuha”
Hadis menerangkan bahawa perbuatan maksiat tidak menutup kemungkinan seseorang masuk syurga sekalipun terlebih dahulu masuk neraka.

peringatan
( berita gembira ini tidak menyeru manusia melakukan maksiat tetapt pada masa yang sama mensyirikkan Allah, sekalipun berita gembira ini menunjukkan betapa Ar Rahim dan Ar Rahman nya Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang. Siapa yang bisa nyatakan dia boleh hidup walau sesaat lagi?? Tidak mungkin! Sebesar manapun dosa, selama tidak mensyirikkan Allah, tolonglah, tolonglah hamba menyeru, kembalilah pada Dia yang menciptakan kamu dari saripati yang hina (air mani), yang jikamana jatuh ke tanah tidak menumbuhkan buah, dijual tidak bernilai, berasal dari sistem kumbah yang maha hina… namun disenyawakan agar kamu bersyukur dan tunduk padanya.. berapa banyak lagi dosa yang mahu kamu perbuat sebelum ingin bertaubat ! aduh umat, sekalipun syurga masih ada buat kamu, apa bila di dahimu tertulis”bekas ahli neraka”, baharu kamu bersyukur. Sekalipun di syurga kamu dikembalikan, seolah kamu dipandang sebagai seorang banduan yang baharu lepas menjalani hukuman. Kulitmu meleleh dek panahan api, wajahmu jelik mengambil masa pulih, tulang mu keciciran dek hukuman maha dahsyat)

nasihat
~ Allah Maha penerima taubat. Wahai aku, sudah-sudahlah berbuat maksiat. Wahai aku, wahai umat~

larangan memukul muka


LARANGAN MEMUKUL MUKA


apakah kau biarkan tangannya di mulutmu dan kau pecahkan dia seperti memecahkan kepala binatang (al-fahl)”.
Diriwayatkan oleh : At Thahawi dalam “ Musykikul Atsar” dari ‘Atha dari Shafwan  bin Ya’la bin Umayah  r.a

Sababul Wurud(sebab turun hadis)
Kata Ibnu Umayah: “Aku pernah bertempur melawan musuh bersama Rasulullah SAW dalam salah satu peperangan. Seorang di antara pegawaiku berkelahi dengan lawan. Kedua-duanya saling menampar dan menggigit. Ketika tangan salah seorang di antara mereka masuk ke dalam mulut lawannya, giginya ditarik sehingga jatuhlah gigi taringnya. Hal ini diadukan kepada Rasulullah.
Rasulullah SAW bersabda: “ apakah kau biarkan tangannya……… dan seterusnya”.

Keterangan
“Al-Fahl”: haiwan jantan. Jamaknya : fuhuul, fuhuulah atau fuhhaal. Hadis ini menunjukkan kebencian Rasulullah terhadap kedua orang yang berkelahi saling menampar muka dan menggigit. Hal ini dipandang Rasulullah serupa dengan perilaku haiwan yang tidak layak bagi manusia.

Peringatan
Lihat seberapa indahnya perilaku Rasulullah sehinggakan baginda membenci orang-orang yang berkelahi dan berperilaku seperti haiwan. Perilaku beginikah yang dikatakan oleh oreintalis bahawa Rasulullah sebagai orang yang menyeru peperangan? perilaku yang mendamaikan beginikah yang dikatakan orang bukan Islam bahawa Rasulullah menyeru kekejaman melata? Tidak! Bahkan jelas-jelas emosinya menegur perihal pergaduhan itu ialah sebuah peringatan. Baginda membenci pergaduhan dan perilaku seperti hewan!

Nasihat
 pergaduhan kecil juga baginda tidak suka apalagi peperangan! . Tapi kita pula lebih suka memperbesar, mengapi-api. Malah menyukai pergaduhan menarik rambut, memecah muka dan lebih dahsyat berbunuhan, naudzubillah.bahkan  kita membenarkan kata-kata orientalis tanpa mengkaji kebenarannya.  Jauhnya akhlak kita dengan Rasulullah. Bukan saja membenci malah kita sama sekali suka. subhanAllah!
Sudah-sudahlah berbuat onar wahai aku, wahai umat~

Saturday, November 26, 2011

22 fakta tentang sotong yang anda rugi kalau tak tahu



1-Ahli Biologi menganggarkan terdapat kira-kira 500 spesies sotong

2-Sotong betina bertelur seribu biji setiap kali di dasar laut

3-"Giant squid" mempunyai mata sebesar bola jaring

4-Sesetengah sotong mempunyai organ bioluminescent menyebabkan ia bercahaya dalam gelap

5-Sesetengah sotong kehilangan tantakelnya pada peringkat larva

6-Sotong merupakan haiwan karnivor: makan ikan, krustasia dan sotong kecil

7-Sotong mempunyai 8 lengan dan hanya tantakel mempunyai penyedut

8-Sotong mempunyai 3 jantung

9-Sotong berenang paling pantas di antara haiwan-haiwan invertebrata

10-Kebiasaannya sotong hidup selama 1 hingga 2 tahun

11-Sotong terbesar yang dilaporkan sepanjang 60 kaki dan berat 1980 lbs


12-Nama "calamari" bermaksud memasak sotong dari bahasa greek

13-Sotong paling kecil bersaiz 0.7 inci dengan berat 0.02 oz

14-Kebanyakan sotong memancutkan dakwat bagi melepaskan diri daripada musuh

15-Sotong boleh menyamar mengikut persekitarannya.

16- Dikatakan sotong mempunyai kepintaran kanak-kanak berumur 6 tahun
17-sotong bernafas melalui insang seperti ikan

18-sotong Anthena dikatakan boleh berjalan di atas darat(rujuk video)

19-Sotong Kurita tidak mempunyai tulang belakang, oleh itu walaupun sudah 
dewasa, ia boleh memasuki lubang sebesar duit syiling

20-dalam bahasa Greek, Octopus bermaksud berkaki lapan

21-Paul merupakan nama seekor sotong selebriti yang meraih populariti yang tinggi selepas meramal permainan bola sepak piala dunia 2010

22-seorang bayi dikhabarkan mempunyai badan seperti sotong 






“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezkinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh). (Hud, ayat 6)

Wednesday, July 20, 2011

16 fakta bayi yang anda mungkin nak tahu,,, ^_^



16 Fakta Menakjubkan Bayi baru lahir


  • Bayi tiada kepala lutut. Ia tidak membentuk sehinggalah bayi berusia 6 bulan




  • Bayi tiada air mata. Mereka menangis dan menjerit tetapi air mata sebenar tidak wujud sehinggalah bayi berusia 5 minggu. 




  • Mereka mempunyai lebih tulang. Orang dewasa mempunyai 206 dan bayi pula 300 tulang. Kebanyakan dari tulang tersebut bercantum semasa bayi membesar.




  • Empat dari 10 bayi mempunyai tanda lahir.




  • Bayi mempunyai deria bau yang kuat. Boleh mengenali bau badan ibu sebaik dilahirkan.




  • Penglihatan bayi kabur sebaik sahaja dilahirkan.




  • Rambut bayi yang tumbuh semasa dalam rahim ibu akan gugur beransur ansur dan digantikan sepenuhnya oleh rambut baru apabila berusia 6 bulan.




  • Bayi baru lahir secara genetiknya mempunyai deria bunyi yang kuat. Boleh membezakan bunyi-buyian dan boleh mengenali suara ibu serta merta semasa dilahirkan




  • Deria rasa bayi masih tidak berbentuknya sepenuhnya semasa lahir. Tidak boleh membezakan rasa seperti manis atau masin dengan baik.




  • Jantung bayi baru lahir berdenyut diantara 120-160 degupan seminit berbanding dengan degupan jantung orang dewasa iaitu 60-80 seminit.




  • Bayi bernafas lebih cepat iaitu 30-50 nafas seminit berbanding dengan orang dewasa 16-20 nafas seminit.




  • Berat bayi bertambah 2 kali ganda dari berat semasa lahir pada usia 6 bulan.




  • Mendengarkan music klasikal menambah kepintaran bayi.




  • Bayi baru lahir tidur 15-20 jam sehari.




  • Bayi cuma mempunyai satu lapisan kulit sebab itulah ia akan alah dan kemerahan dengan senang kepada losyen wangi, sentuhan kasar, gigitan serangga dan sebagainya.




  • Bayi mempunyai kebolehan menyelam sebaik dilahirkan tetapi kebolehan tersebut akan hilang dengan cepatnya.







  • Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa



  • (Al-Furqan , ayat 74)

    Monday, July 18, 2011

    novel bersiri : Buruj-buruj cinta, bab 1 dan 2

    BAB 1 dan 2: BURUJ-BURUJ CINTA
    Cinta bertunas

    Kejadian gempa bumi di Jepun menggigit rasa. Bantuan kemanusiaan diagihkan berupa beras, barang-barang dapur, serta pakaian dan selimut untuk kemandirian hidup mereka. Serasa ada ejekan yang menerkam tangkai hati warganya tatkala bumi animasi itu tiada penyelamatnya. Wajah-wajah warganya kelihatan sugul dan layu. Bukanlah cerca dan maki yang didamba saat itu tapi huluran bantuan yang tak putus-putus mahunya. Ura-ura juga mengatakan ketua penduduk di kawasan bencana tidak menginginkan simpati dan bantuan. Itu hanyalah agenda sherif dunia kerana rata-rata penduduk tempatan berterima kasih kepada negara yang meringankan beban termasuk Malaysia. 
    “ Ini kejadian yang ke berapa?” tukasnya seraya meninjau-ninjau kawasan bencana.
    “ Belum termasuk dalam kiraan prof. ,” Hamza mencatit sesuatu pada buku catatannya. Pensel tulis diselitkan ke telinga seusai menulis. Lagak orang pintar.
    “ Mengikut keterangan saksi apa?” soal sang professor. Dia tidak ralit dengan kajiannya. Seorang professor berwibawa daripada luar negara. Memahami pelbagai jenis bahasa. Mempunyai kreadibiliti luar biasa. Dan sekarang, dia mahu mengkaji kaitan antara bencana di Jepun dengan kehadiran makhluk luar dari bumi, alien.
    Hamza juga meraih pengalaman luar biasa. Dia takjub sekali dengan menjadi pengikut Profesor Agaza. Seorang  mulhid atau tidak punya agama yang pada asalnya penganut agama Kristian yang tegar.
    “ Rata-rata saksi yang berada di luar rumah menyaksikan tanda luar biasa. Bentuk cincin di langit, cahaya pelik seperti awan di waktu senja dan saya syak , ianya fenomena yang sama di Chile juga di China,” Jelasnya dengan mata bercahaya. Kejadian gempa bumi bermagnitud 8.8 di Chile pastinya mengejutkan dunia, dan sekarang berlaku di Jepun pula dengan magnitud 9. Suatu hari nanti di mana pula?
    “ Ya, saya juga merasakan yang sama. ,” ujar Professor Agaza seraya tersenyum. Seolah-olah ada sesuatu yang direncana. Mungkin saja penemuan awal mampu menyelamatkan nyawa dan persediaan menghadapi gempa. Itupun sekiranya hipotesis yang dibuat adalah tepat. Cita-cita memperoleh anugerah Nobel bakal dalam genggaman kalau saja kajiannya berhasil. Benar-benar akal pintar seorang ilmuan.
    “ Nanti pula kita ke mana ?” Hamza gemar membuntuti Prof. Agaza. Dia bebas ke luar negara. Semuanya percuma!
    “ Mesir,”
    …………………………………………………..
    Beberapa bulan sudah berlalu sejak sekembaliannya daripada bumi matahari terbit. Belum puas sebenarnya, kerana tanah Osaka belum sempat diinjak. Terbitnya matahari di bumi itu belum sempat diperlihat. Sejuk bekunya salji hanya sempat ditatap dari balik jendela. Semuanya kerana keperluan kerja dan penyelidikannya.
    Furqan duduk di pinggir katil. Sipi-sipi saja punggungnya dan dia hampir terjatuh. Kertas kerja ditolak mentah-mentah oleh pihak atasan. Kajian demi kajian menemui jalan mati. Seolah-olah ada denai-denai yang ditinggalkan, dan kini menuju ke sungai yang berkelodak. Buntu!
    Jelas terdengar nada dering  kembali dari beg bimbit yang terbuka. Dibiar kejap telefon menjerit kerana keasyikan pada transkrip penemuan terkini soal kajiannya. Tangan dihulur namun telefon sudah bisu suara.
     Ibunda Furqan mampir. Dia juga tidak sedar.
    “ Furqan sayang,” panggil Hajah Kalthom lembut. Di tangannya ada dulang dan santapan. Lantas Furqan berpaling. Tidaklah dia membiarkan ibunda memanggilnya berkali-kali tanpa jawapan. Berdosa besar kelak.
    Dia menghadirkan secalit senyum. Manis, semanis kulitnya yang sawo matang. Cermin mata ditujah ke atas. Titis peluh diseka dengan kura tangan. Perut juga berbunyi kerana sedari pagi dia belum menjamah apa-apa hidangan. Sehiris tembikai dan kurma seperti inti makanan nabi yang menjadi hidangannya saban hari juga belum jatuh di perut. Makanan itu jugalah yang ditatang oleh ibunya.
    Furqan mencium tangan ibunya lalu santap. Tidak gelojoh dan penuh ketertiban.
    “ Furqan, ibu mahu minta sesuatu darimu,” pohon ibunya perlahan.
    Furqan tertegun, belum pernah juga ibunya berkelakuan ganjil sebegitu. “ Katalah ibu, InsyaAllah akan ditunaikan selama mana tidak melanggar batas dan syariat,”
    “ Kahwinilah Ummi Khadijah, anak teman ibu. Dia mahu bebas dari fitnah yang membelenggunya. ,” ujar ibunya tanpa banyak sendi bahasa dan selit nada. Sekeping foto dihulur. Furqan mengambilnya dengan cermat dan meletakkan dalam kemas di atas meja. Tidak sekali-kali anak matanya diajar mencuri pandang meski hanya sekeping foto. Gambar itu juga ditelangkupkan.
    Permintaan ibunya tidak melanggar syariat., malah bakal melengkapkan jiwa Furqan sebagai lelaki sejati dengan pernikahan selaku sunnah yang dituntut. Bukankah Adam juga lengkap dirinya sebagai lelaki tatkala Hawa hadir menjadi permaisuri? Furqan tahu itu. Malah dia tahu ibunya hanya mengharapkan kebahagiaan hidup anaknya. Itu saja.
    Senyum masih terparkir di bibir. Dengan ungkap kata Bismillah, furqan menyetujui permintaan ibunya.
    Telefonnya berbunyi lagi. Kali ini dia lekas menyambar dan terus menekan punat hijau. Tertera nama seseorang di skrin.
    Hamza
    …………………………………………………………..
    Ummi Khadijah, secantik namanya. Dia hadir dalam hidup Furqan persis pelangi yang terukir selepas hujan. Wajah cantiknya menjadi kedambaan ramai jejaka.  Beruntunglah sesiapa yang memilikinya. Ilmu agamanya juga harus diakui mukmin yang menginginkan serikandi Islam sejati.
    Namun bagi Ummi Khadijah, perkahwinan tidak seindah itu. Harus banyak cabang-cabang dugaan yang perlu dilalui. Kalau saja tersilap langkah. Punah. Petang itu mereka dipertemukan.
    Ummi Khadijah ditemani mahramnya dan Furqan juga begitu. Mereka tidak melirik manja walaupun pernikahan  bakal menyatukan dengan izin Allah. Bukankah lirikan mata itu panah-panah dari syaitan. Mohon disimpangkan semacam zina apapun pada Dia Maha Memiliki. Perlu apa juga merasa nikmat sebelum kahwin, berpeluk-peluk, bersalam-salam dan bermesra.
    Rasulullah s.a.w bersabda dan diriwayatkan oleh Thabrani, seandainya kamu ditusuk dengan jarum besi, maka itu lebih baik bagimu daripada menyentuh perempuan yang tidak halal bagimu. Hadis itu tersemat kemas di nubari Furqan.
    Tanpa banyak soal dan bicara. Juga tanpa pantun dan puisi-puisi yang menyukarkan permuafakatan. Mahar ditetapkan, tidak terlalu lebih nanti menyusahkan, juga tidak terlalu kurang nanti memalukan. Termeterai janji antara mereka.
    Dua minggu lagi mereka akan dinikahkan. Cukuplah sekadar membuat kad jemputan, itupun tidak perlu dengan grand dan menunjuk-nunjuk. Tanpa banyak karenah birokrasi. Bukankah Islam itu mudah dan memudahkan?
    ………………………………………………………………………………………..

    Malam masih muda.  ada hujan yang menambah bibit romantika. Seusai lafaz yang menghalalkan ikatan, dia mencuri pandang wajah calon isteri, tepat sekali isteri secara total!
    SubhanAllah, cantik sekali.
    Kamar mereka diharumi wangian mawar merah.
    “Abang lihat apa?” tanya Umi Khadijah tatkala melihat sang suami menatap potret gambar.
    “ si cantik..”
    Umi Khadijah jadi cemburu.
    “ ya, pasti saja banyak bunga yang lebih harum sempat dipetik sebelum menjumpai bunga yang mahu membusuk ini,” demikian Umi Khadiah berkias, tenggelam sekali suaranya,
    Furqan mampir. Ada debar di hati sang puteri.
    “ Si cantik itu bintang, dan bintang itu ada di langit. Langit hati.,” liriknya manja. Dia menyambung dengan lunak suaranya, “ So’unuzzon (berfikir buruk) itu harus dielakkan ya sayang..,” ada getar di hujung panggilan. Ungkapan “ sayang” yang pertama kali dialunkan di bibir seorang lelaki, khusus untuknya. Mencemaskan lewat malam begini.
    Furqan berpaling. Dia merenung bintang-bintang. Fikir Ummi Khadijah suaminya marah dengan telahannya. Kalaulah dia dijemput Illahi saat dan kala suaminya tidak redha padanya. Aduhai..
    Ada dua tangan yang muncul dari balik pinggang Furqan. Betapa terkejutnya dia. Sebuah pelukan erat tapi penuh dengan kelembutan. Bau pemiliknya juga harum aromaterapi. Tenggelam dalam indahnya suasana.
    “ Sayang.. marah?” Ummi Khadijah cuba mentelah isi hati suaminya Furqan. Membiasakan diri dengan panggilan yang dijaga rapi dua dekad lamanya.
    “Tidak..,” jawabnya ringkas.
    “ Kecil hati?” pelukan itu dilonggarkan.
    “ Sayang harus belajar mengambil hati,” menarik semula tangan Ummi Khadijah agar melekap tubuh mereka. Ada ketawa nakal di ujung lafaz. Satu cubitan halus singgah di pipi isterinya yang mula bergerak tempat ke sisi pinggang kirinya.
    “ Sayang cantik sekali,”
    “ Tahu..,” ujar Ummi Khadijah sekadar berleluncon.
    “ Abang juga tahu, dan itulah yang menggusarkan,”
    “Maksudnya,”
    “ Abang tidak suka berkias, membuang sedikit masa yang memang sedikit.,” membahasakan dirinya abang supaya wujud sedikit rasa hormat antara mereka.
    “ Maka berterus teranglah,” pujuk Ummi Khadijah.
    “ Nil memanggilku, Kaherah juga begitu,”
    Ummi Khadijah hanya diam. Membenarkan sang suami mengambil secukup masa untuk memberi sebuah penjelasan.
    “ Lihat bintang itu,” Keduanya-duanya menoleh ke arah sebuah bintang yang bercahaya, menandingi bintang lainnya. Jelas, sebuah bintang kejora. Mungkin kerana hujan saat ijab kabul tadi telah menutup pandangan malam, dan sekarang memberinya laluan untuk membawa sinar yang terbias daripada mentari.
    Furqan menyambung dengan redup suara, “ Abang harus mencari kebenaran cerita itu. Bintang hati abang akan sentiasa dekat di hati.,”
    “ Cerita?” baru kali ini dia berani bersuara.
    “ Ya cerita,” Furqan pantas menukas. “ berkaitan worm hole, alien, gelombang cincin di dada langit..”
    Umi Khadijah diam tanpa bahasa. Kalau mengikut gelojak hati, ingin saja dia memuntahkan segala suarasa dan hamburan pertanyaan. Namun bukankah kesabaran pada pertama kali itulah yang terbaik. Wahai hati, bersabarlah. Dengan izin Allah, lambat atau cepat, dia akan mengetahui segalanya tentang Furqan. Apalah yang tinggal kalau tiada rahsia lagi yang harus dicungkil. Rahsia dan misteri itulah yang memberi nilai pada diri individu. Perlahan-lahanlah, alon-alon saja.
    Furqan sedar pada riak wajah isterinya yang bergelombang, seperti juga gelombang yang hadir  di dada langit yang mungkin sebagai tanda luar biasa sebelum Jepun dan Chile dilanda gempa. Mungkinkah memang benar makhluk asing seperti yang Hamza katakan padanya benar?. Zikir  saja buat menenangkan hati. Saat berbulan madu begini pun penyelidikannya masih mahu mengacau dan membuat onar?
    Bukan senang mahu memberi penjelasan. Setakat ini juga hanya ibundanya yang mengetahui gerak geri hidupnya di sebaliknya kerjayanya sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti di ibu kota. Gerakan dakwah agamanya juga tidak harus tinggal diam, kerana agamalah yang memberinya cahaya hidup.
    “ Sayang diam?” Ummi Khadijah menatap penuh wajah bujur sirih suaminya. Ada janggut comel di balik dagu, tiada kumis dan kalau ada pun tidak merosakkan penampilannya. Dia kacak sekali fikir Ummi Khadijah.
    “ Mencuri pandang?” gurau Furqan. Pandangan mata mereka bertaut. Kedua mempelai jadi malu.
    Meski fikirannya diasak-asak, cukuplah dulu, malam itu milik mereka. Meski juga sebentar cuma.
    Potret foto diambil semula daripada meja, diperhati bersama.
    Wajah Ummi Khadijah yang cantik rupawan ditatap. Dia jadi malu.
    Bibir Furqan tepat menempel di dahi isterinya.
    Indah sungguh cinta.

    Telefon bimbit berbunyi lagi. Kali ini pantas ditekan butang hijaunya. Nama pemanggilnya juga jelas di skrin telefon.
    Hamza.

    Bab 2:
    Menuai cinta
    “ Mahu makan angin di mana?” tanya Furqan beria-ia. Wajahnya juga gembira keanak-anakan. Lama sekali dia tersenyum merenung raut cantik isterinya, Ummi Khadijah.
    Tidak luak, tidak jemu!
    Ummi Khadijah hanya membalas renungan. Dia juga tersenyum. Manis dan menggoda.
    “ Kita sudah berbulan madu bukan?” kerling Ummi Khadijah.
    Tangannya ligat mencuci pinggan dan perkakas dapur. Sedikit berdebu fikirnya. Seminggu lepas dia dibawa ke rumah itu sebagai permaisuri, dan sekarang hanyalah suri biasa. Wajarlah ada perkakas yang tidak sempat dijamah untuk dibersihkan kerana banglo besar itu hanya dihuni dua beranak sebelum kehadirannya. Indahnya dekorasi rumah juga serasa membawanya menjelajah ke dunia Inggeris. Lalu mahu ke mana lagi?
    “ Setakat di rumah? Pastinya wanita cantik sepertimu ingin ke tempat yang cantik juga.,” Furqan cuba bermain tali.
     Normallah pasangan pengantin berbulan madu di luar. Meski rumah banglo yang rata-rata dindingnya di cat putih itu cukup indah untuk didiami dan memadu cinta, namun dia ingin bersama isterinya menghirup angin segar di luar. Kalau boleh ke luar negara. Ke kota cinta agar rasa cinta yang mereka bangunkan terus  melonjak seperti menara tinggi.
    “ Lalu di mana?” Ummi Khadijah sebenarnya mahu, tapi dia malu. Dia tahu, membeli sayang juga perlu tawar-menawar.
    Furqan bersandar pada kabinet dapur yang dibuat daripada kayu semangkuk. Rona warnanya lembut. Hiasannya juga menarik. Sesekali tancap mata Ummi Khadijah jatuh pada hiasan kabinet pinggan itu. Sebenarnya kalau boleh dikatakan, serba-serbi menarik.
    Furqan menarik tangan Ummi Khadijah agar mengikutinya. Mujur isterinya sudah hampir siap mencuci dan baru usai membasuh tangan, kalau tidak pasti saja berbuih tangannya. Ummi Khadijah hanya membuntuti Furqan sedang tangannya digenggam erat kini.
    Mereka sampai di gazebo di luar halaman rumah. Ianya sebuah pondok rehat dan didekorasi dengan dua buah kerusi antik . Sebuah meja kopi berkaki tiga menjadi penyeri di tengahnya. Tiang gazebo dicat keemasan dan dilingkari untaian tumbuh-tumbuhan. Laman di sekeliling gazebo juga dihias dengan tanam-tanaman renek serta pohon-pohon menghijau. Laman letaknya gazebo itu di tepi kanan rumah, dan jalan ke situ disambut oleh batu-batu sungai yang beraneka saiznya. Mengikut ahli kesihatan, amalan memijak batu sungai dengan kaki ayam baik untuk kesihatan, mungkin itulah tujuannya wujud di situ.
    Ummi Khadijah cukup kagum dengan gazebo dan laman itu.
    “ Mengapa diam?” tanya Furqan. Dia mencuri pandang wajah isterinya yang leka dengan hiasan sekitarnya sedari tadi. Dia suka sebenarnya memperlakukan Ummi Khadijah seperti itu. Bukannya salah apapun.
    “ Semuanya cantik sekali,” ringkas saja jawabnya.
    “ Secantik dirimu juga,” ada seulas senyum di bibir Furqan.
    Ummi Khadijah membalas senyum. Takut nanti suaminya jadi “SS” aka senyum sendiri.
    “Kalau boleh ummi bertanya..,”
    “ Silakan saja sayang..,” lancar sekali ungkapan itu diluah. Mungkin saja dia sudah berlatih beberapa kali sebelum mengungkapkannya. Ummi Khadijah sejujurnya belum biasa dengan panggilan itu. Tapi kalau dihayati, indah sekali. Suami sendiri juga, bukan orang lain.
    Ummi Khadijah menelan liur. Moga saja pertanyaannya tidak menggusarkan hati Furqan. Dia mahu mengelakkan kejadian seumpama itu.
    Matanya ditatap dalam oleh Furqan. Rasa mahu tembus isi hatinya diperhati begitu. Rasa mahu melayang juga ada.
    “ Ungkapkanlah…,”
    Ummi Khadijah tunduk. Dia kalah. Tidak betah berlawan renungan.
    Satu perkara yang dia sedari seawal pertemuannya dengan Furqan, berterus terang dan jangan berdalih. Furqan juga menyedari gelisah hati isterinya dari awal lagi. Soal pekerjaannya. Soal kekayaannya.
    “ Kerja abang pensyarah?” Ummi Khadijah menarik nafas panjang. Pelik pula terasa soalannya.
     Furqan menghidu gusar di hati isteri. Bukanlah dia tidak mahu memberitahu soal diri dan kerjayanya. Rancangannya untuk memberitahu perihal diri pada saat dan detik yang sesuai. Tapi kalau tidak sekarang bila lagi? Takut pula kalau-kalau Ummi Khadijah tidak mampu menerima kerjanya, kebanyakan masyarakat juga begitu. Tidak mahu pula isteri yang mula diterap penuh rasa cinta menjauh gara-gara tidak menyukai pekerjaan yang dilakukan. Sukar sekali.
    Angin yang menampar wajah seolah-olah menjawab pertanyaan Ummi Khadijah. Bukannya dia tidak tahu Furqan bekerja sebagai seorang penyarah di universiti dengan kelayakan master dan sedang berusaha menyambung pengajian ke peringkat phd tetapi ditolak kertas kerjanya. Mindanya telah diberi pencerahan soal itu. Tapi tidak mungkin seorang pensyarah biasa bisa memiliki rumah tersergam indah begitu. Ibunya juga hanya suri biasa. Kekayaan nenek moyang jauh sekali. Tambahan Furqan masih muda dan kacak, usia juga awal dua puluh.
    “ Maaf kalau pertanyaan itu mengganggu abang..,” ada nada lirih bertandang. Namun dia perlu tahu. Lambat laun dia juga akan tahu fikirnya. Biarlah jawapan hadir dari bibir suaminya sendiri. Kalau dari orang pasti ditokok tambah. Walaupun kebenaran itu selalu menyakitkan, tapi dia tetap mahu tahu.
    “ Baik, kalau abang beritahu, kita berbulan madu dua minggu lagi,” mata kanannya dikenyitkan. Sememangnya Furqan pandai mengambil hati. Ummi Khadijah senyum semula.
    Hati Ummi Khadijah berbelah bagi. Mengiakan pun tidak, melarang pula jauh sekali. Dia bukannya tidak mahu bersetuju terus, tapi kerja suaminya kelak bagaimana? Dia berkira-kira, baki cuti Furqan hanya tinggal satu minggu saja lagi. Satu minggu sebelumnya, mereka hanya menuai tunas cinta di rumah.
    “ Bagaimana si cantik?” Furqan memegang ulas dagu Ummi Khadijah, perlahan. Ummi Khadijah terkejut. Berona merah wajahnya. Malu.
    “ Sayang…,” panggil Furqan seraya melihat Ummi Khadijah kekal diam. Tembok malunya sukar sekali diruntuhkan.
    Kali ini Ummi Khadijah bertindak berani, dia berdiri dan mendekati suaminya.  Dua tangannya dilekapkan ke dada suaminya. Alangkah terkejutnya Furqan! Berdebar kencang jantung lelakinya. Nah, tahu takut.  Kira itu jawapan “ya” untuk bulan madu mereka.
    Dan biarlah dulu segala persoalan. Dengan izinNya, lambat atau cepat, dia pasti tahu.
    ………………………………………………………………………………………

     BERSAMBUNG...

    Thursday, April 28, 2011

    yahudi buta.. indahnya akhlaq baginda.


    Seorang pengemis buta tinggal di sudut pasar Madinah yang sibuk dengan hiruk pikuk pedagang dan transaksi jual belinya. Pengemis buta akan mengingatkan orang-orang yang lalu lalang dan mendekatinya, “wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya, maka kalian akan dipengaruhinya.
                   Jiwa Muhammad s.a.w benar-benar tulus dan bersih. Nabi s.a.w akan mendatanginya setiap pagi dan membawakannya makanan. Tanpa sepatah kata, Nabi menyuapkan makanan yang dibawanya ke dalam mulut pengemis yang membencinya dengan penuh lembut dan ehsan. Pengemis itu sama sekali tidak mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w yang menyuapkannya setiap hari sehinggalah saat Rasulullah s.a.w wafat.. AllahuAkbar..
    Setelah baginda wafat, pastinya tidak ada sesiapa yang menghiraukan pengemis buta, kerana selama adanya Nabi, yahudi buta beroleh makanan dan dilawati setiap pagi. Suatu hari, Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya, saidatina Aisyah, isteri Nabi tercinta  untuk bertanyakan apakah ada lagi kebiasaan kekasihnya Muhammad s.a.w yang belum beliau kerjakan. Aisyah lalu menjawab dengan sopan “ wahai ayah, ayah adalah ahli sunnah dan hampir tidak ada suatu kebiasaannya pun yang belum ayah kerjakan, kecuali satu sahaja”.
    “ apakah itu?” Tanya ayahnya benar-benar ingin tahu.
    “ setiap pagi, Rasulullah s.a.w selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang yahudi buta yang ada di sana,” jawab Aisyah.
    Keesokan paginya, Abu Bakar r.a pergi ke pasar dengan membawakan makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya.
    Saat Abu Bakar menyuapkan jemarinya ke mulut pengemis, pengemis itu naik berang dan memarahinya. “ siapakah kamu?” bentaknya dengan amarah.
    Abu Bakar menjawab, “ Aku orang yang biasa (mendatangi engkau),”
    “ bukan! engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” bantahnya penuh yakin. “ apabila dia datang kepadaku, tidak susah tangan itu memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Dia menambah “orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu akan dihaluskannya makanan tersebut, baharulah diberikan kepadaku,”
    Abu Bakar yang benar-benar rindu dengan Rasul junjungan menangis. Dia benar-benar sudah tidak mampu membendung air mata yang berderai jujuh sambil berkata, “ aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w.”
    Pengemis yang mendengarkan tutur Abu Bakar turut sama menangis.
    “benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku walau sedikitpun, dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia… “
    Pengemis yahudi buta tersebut mengucapkan kalimah shahadah di hadapan Abu Bakar r.a saat dan detik itu. Hiduplah dia sebagai seorang Muslim lantaran akhlak nabi yang luar biasa,
    SubhanAllah sahabat-sahabat! Indahnya akhlak baginda , lembut dan hikmahnya dakwah Rasulullah s.a.w yang luhur, sehingga mampu mencairkan hati yahudi yang buta. Yang kerap memarahinya malah mencercanya sepanjang masa. Mereka tertarik dengan akhlak baginda lalu memeluk Islam dan merasai nikmat Islam. Tapi lihatlah kini, Kita bersusah payah mengajak mereka mengenali Islam yang pasti dan sudah pastinya membawa pada jalan yang indah. zaman serba serbi menempah kemodenan, secantik manapun Islam tidak kelihatan dek tenggelam dengan akhlak orang Islam yang tiada jati Islamnya..
    Baginda ialah ahsanul akhlaq, semulia-mulia akhlak. Marilah kita meneladinya… walau sedikit cuma..insyaAllah muhasabah dan istiqomah.! mari berselawat ke atas junjungan.. renew shahadah, praktik penuh Islam yang indah... insyaAllah..
    kita juga pengemis, didunia.. mengemis redha Yang Esa..